PORT DICKSON: Menjelang sahaja sambutan hari kebangsaan setiap tahun, ia pastinya amat dinanti-nantikan oleh seorang remaja di sini, Muhammad Amirul Rashid, 15,.
Ini kerana dia akan meraikannya dengan memakai pakaian bertema Jalur Gemilang dan menghias basikal kesayangannya itu dengan bendera berkenaan malah ia telah dilakukan oleh pelajar Tingkatan Tiga itu sejak usianya lapan tahun.
Menurutnya, dia berasa bangga setiap kali menyarungkan pakaian Jalur Gemilang yang telah dijahit sendiri oleh ibunya, Siti Hajar Mohd. Yusop, 52.
“Ibu banyak bantu dengan menjahit pakaian dan menghias basikal saya ini. Pada waktu malam saya akan ambil masa bersiar-siar menggunakan basikal ini dan memasang lagu berkaitan kemerdekaan.
“Ini cara saya untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara, saya harap orang lain juga boleh melakukannya dengan cara masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Saujana dekat sini, kelmarin.
Menurut Muhammad Amirul, sebanyak 30 helai Jalur Gemilang digunakan bagi menghias pakaian dan basikalnya.
“Saya berhasrat untuk membawa basikal ini ke lokasi tumpuan orang ramai ketika malam sambutan hari kemerdekaan nanti. Sebelum ini saya pernah berbuat demikian ramai yang datang bergambar kenangan bagaimanapun, tahun ini saya akan mengelakkan mengambil gambar secara dekat bagi menjaga penjarakan sosial.
“Pernah juga orang ramai memberikan saya wang dan saya agak lucu kerana saya bukan melakukan perkara ini untuk mengutip derma,” katanya lagi.
Sementara itu, Siti Hajar berkata, dia menyedari anaknya itu gemar memakai pakaian Jalur Gemilang setiap kali bulan kemerdekaan sejak anaknya itu berusia lapan tahun.
“Dia amat gemar memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan menghias basikalnya setiap kali hari kemerdekaan jadi saya membantu minatnya itu dengan menjahit pakaian itu buatnya.
“Idea untuk menjahit dan rekaan pakaian serta hiasan basikal adalah datang sendiri tanpa melihat dan merujuk di mana-mana. Kebiasannya saya akan ambil masa selama dua hari untuk menjahit dan menghias pakaian dengan Jalur Gemilang ini,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE