PUTRAJAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dicapai dalam satu perjumpaan khas Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama ahli-ahli Parlimen GPS di Kuching hari ini bagi membincangkan senario terkini politik di negara ini.
Menurut beliau, GPS juga menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.
“GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan Perlembagaan.
“Tindakan (mana-mana pihak) mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19, hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Alexander berkata, keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.
Justeru, katanya, GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu berpolitik dan semua ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.-UTUSAN ONLINE