KOTA KINABALU: Industri ternakan negara dijangka terus berkembang susulan langkah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang tampil untuk membantu mengedar dan memasarkan komoditi ternakan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ketika ini tiada agensi khusus yang menjalankan aktiviti pemasaran ternakan di negara ini.
Berikutan itu, pindaan akan dibuat dalam Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) untuk memberikan kuasa kepada FAMA untuk mengedar dan memasarkan komoditi ternakan dalam pasaran negara.
Katanya, pindaan ini akan dikemukakan semasa persidangan Parlimen pada masa terdekat ini. Ini antara langkah bagi memperluaskan skop FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya yang luas.
“Ketika ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu tafsiran keluaran pertanian dalam Seksyen 1A yang hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu tapi, tidak termasuk komoditi ternakan.
“Justeru, FAMA akan mengambil peranan untuk mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi berkenaan.
“Usaha ini bagi memastikan bekalan ternakan sentiasa ada serta rantaian bekalannya tidak terganggu memandangkan ketika ini tiada agensi khusus yang menjalankan aktiviti pemasaran ternakan,” katanya selepas tinjauan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan pusat pemprosesan buah-buahan Sabah di Pejabat FAMA negeri Sabah hari ini.
Hadir sama, Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid.
Mengenai pusat pemprosesan itu, Ronald berkata, pusat berkenaan dijangka siap pada bulan Ogos 2022.
Pusat ini adalah sebahagian daripada Pelan Perancangan Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA @ Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) (2021-2025) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta. Ia dijangka mampu menampung sehingga 21,000 tan metrik buah-buahan dengan nilai RM123 juta apabila siap sepenuhnya kelak.
“Pusat pemprosesan ini berperanan untuk memproses buah-buahan untuk dijadikan sebagai produk sejuk beku dan produk pemprosesan minima. Ia dijangka mampu memproses 1,500 tan metrik durian, 288 tan metrik kelapa, 240 tan metrik nanas MD2, 960 tan metrik sayuran kobis menjelang tahun 2025 bagi pasaran tempatan dan eskport,” katanya.
Sehingga kini, FAMA telah mewujudkan sebanyak 12 pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku dan empat pusat memproses makanan di seluruh negara berakreditasi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) oleh Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau, sejak Januari hingga Julai lalu, FAMA Sabah telah menghantar sebanyak 457.8 tan metrik barangan segar terpilih ke Semenanjung Malaysia termasuk pisang Sabah, limau bali (pomelo) dan halia tua.
Pada program itu, Ronald turut menyerahkan bantuan MAFI Prihatin FAMA kepada 250 orang usahawan pemasar FAMA yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sehingga 3 Ogos, seramai 26,587 penerima di 131 lokasi seluruh negara mendapat bantuan MAFI Prihatin.
FAMA Sabah juga sedang melaksanakan Program Stok Bekalan Makanan di Sabah dengan membuat belian hasil pertanian segar dan proses melalui harga lantai dengan peruntukan sebanyak RM2.74 juta.- UTUSAN ONLINE