MELAKA: Kira-kira 200 daripada 325 pengayuh beca di negeri ini hidup terhimpit apabila hilang punca pendapatan hampir dua bulan sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Koperasi Abang Beca Melaka, Azman Dollah berkata, rata-rata daripada mereka berusia 40 tahun ke atas dan kini menganggur berikutan sukar mencari pekerjaan lain.
Menurutnya, sebanyak 125 pengayuh beca berusia 25 tahun ke atas sudahpun mendapat pekerjaan lain seperti menjadi pemotong rumput, bekerja dengan syarikat konsesi sisa pepejal SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dan penghantar makanan.
“Situasi sekarang benar-benar menghimpit kehidupan kami kerana ada yang tidak dapat membayar sewa rumah, ansuran kereta dan sebagainya.
“Pengayuh beca yang muda bolehlah mereka diterima kerja lain tetapi bagi yang berusia 40 tahun ke atas, ada syarikat tak terima kalau usia sudah cecah 50 tahun. Ada pula yang menolak dengan alasan mengecilkan operasi.
“Tak pernah kami hidup sesusah begini dan boleh dikatakan, sebahagian besar daripada kami hilang pendapatan dan kami sudah patah semangat,” katanya ketika ditemui.
Keperitan itu turut dikongsi seorang lagi pengayuh beca, Amran Hashim, 49, berkata, dia langsung tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Nak cari kerja lain seperti pengawal keselamatan, banyak syarikat dah tak ambil orang. Bantuan RM350 yang diberi oleh MAIM memang tidak cukup.
“Buntu fikiran saya, barang keperluan memang kami ada terima. Sudah dua bulan ansuran pinjaman rumah tertangguh kerana tidak ada wang untuk membayarnya,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Tarmizi Mustafa, 34, pula berkata, sejak tidak lagi mengayuh beca, dia masih bernasib baik kerana kini bekerja sebagai penghantar makanan, meskipun pendapatan tidak seberapa.
“Gaji tak banyak kerana terlalu ramai bekerja seperti saya. Dapatlah juga pendapatan, walau tak banyak untuk sara isteri dan enam anak,” katanya yang sudah 10 tahun menjadikan beca sebagai sumber rezeki.-UTUSAN ONLINE