Cuma 2,075 penjawat awam potong gaji secara aktif untuk wakaf - Utusan Malaysia

Cuma 2,075 penjawat awam potong gaji secara aktif untuk wakaf

MOHD. ZUKI Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya 2,075 penjawat awam di seluruh negara yang aktif membuat potongan gaji secara bulanan setakat ini bagi tujuan berwakaf melalui program Wakaf Tunai Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, jumlah itu adalah rendah iaitu 0.13 peratus sahaja daripada keseluruhan lebih 1.6 juta penjawat awam yang ada pada ketika ini.

“Saya difahamkan sehingga 25 Julai lalu, cuma 6,616 penjawat awam yang sudah berwakaf. Maka, saya berharap lebih ramai terlibat sama dalam ibadah wakaf secara tunai ini,” katanya ketika menyampaikan ucap tama program webminar Waqf Breakfast Talk bertajuk Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf secara maya hari ini.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) serta Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan juga beberapa lagi agensi lain yang turut disertai Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Selamat Paigo; Presiden Cuepacs, Adnan Mat dan Ketua Pegawai Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin.

Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, program Wakaf Tunai Malaysia memberi kemudahan kepada masyarakat melakukan ibadah itu tanpa perlu ada harta seperti tanah atau bangunan.

“Sebagai makluman, wakaf bentuk ini dibolehkan dalam syarak malahan selaras keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam kali ke-77 pada 2007 lalu,” jelasnya.

Daripada tunai yang diterima itu ujarnya, kita dapat melihat manfaat dana wakaf bukan sahaja dinikmati umat Islam, bahkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum iaitu bukan hanya bagi tujuan pembangunan sosial, malah sebagai elemen penting dalam membantu kemajuan ekonomi negara.

Beliau memberi contoh antaranya kejayaan program Wakaf Air yang setakat ini sudah pun menyiapkan enam projek di enam negeri dengan memberi manfaat kepada 2,880 penduduk.

Bahkan, peruntukan pembangunan hartanah wakaf hampir RM300 juta sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan hingga Ke-11 lalu turut berjaya memajukan 18 projek berimpak tinggi.

Demi merealisasikan hasrat itu, Mohd. Zuki amat menggalakkan penjawat awam melakukan secara potongan gaji menerusi YWM atau mana-mana Majlis Agama Islam di setiap negeri sejajar Pekeliling Am Bil.1 Tahun 2020 yang beliau umumkan pada akhir tahun lalu selain galakan wakaf secara berkala melalui potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

 “Insya-Allah, dengan sokongan semua, ia mampu jadi sektor ketiga ekonomi negara dan saya berharap pembangunan wakaf boleh berdikari dalam tempoh sepuluh tahun kelak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua agensi menyokong usaha Jawhar dan YWM dalam menjayakan Pelan Induk Wakaf Nasional yang bakal menjadi ‘payung’ pelbagai dana wakaf.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya