SETIU: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan untuk memutuskan status operasi pulau-pulau peranginan susulan penularan 75 kes Covid-19 di Pulau Perhentian.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perincian itu dijangka diketahui selepas Jawatankuasa Khas Keselamatan Terengganu bermesyuarat hari ini.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini hanya operasi di Pulau Perhentian sahaja yang ditutup buat sementara waktu manakala lokasi-lokasi lain seperti Pulau Redang, Kapas dan Tenggol masih dibenarkan seperti biasa.
“Status sama ada operasi pulau diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada ketetapan MKN dan Jabatan Kesihatan negeri kerana mereka yang akan membuat prosedur operasi standard (SOP).
“Sebenarnya, operasi pulau peranginan di Terengganu kembali dibuka sejak 10 Ogos lalu, namun, kebenaran bagi aktiviti renang, snorkel dan menyelam baharu sahaja diberikan dan kita dapati sambutan pengunjung masih belum ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek naik taraf jalur lebar 4G di Lata Payung di sini hari ini.
Sebanyak 75 kes positif Covid-19 dikesan Pulau Perhentian dipercayai kerana pergerakan keluar masuk penduduk kampung dan pekerja resort ke tanah besar, Besut.
Sehubungan itu, sekatan pergerakan kini dikuatkuasakan serta-merta terhadap kesemua penduduk dan pekerja resort di pulau peranginan berkenaan sejak Jumaat lalu bagi memutuskan penularan virus.
Dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, pemberian dos kedua vaksin Covid-19 kepada penduduk dan penggiat pelancongan di Pulau Perhentian yang dijadualkan hujung minggu ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.
Pada 6 Ogos lalu, seramai 979 penduduk dan penggiat pelancongan di Pulau Perhentian menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi program outreach vaksinasi yang dikendalikan Jabatan Pelancongan negeri bersama beberapa agensi terlibat. -UTUSAN ONLINE