PETALING JAYA: Vaksin satu dos CanSino akan digunakan bagi memastikan komuniti kelompok di enam negeri dapat dicapai akhir September nanti.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bekalan vaksin bagi enam negeri tersebut mencukupi selepas kerajaan membuat pembelian sebanyak 3.5 juta vaksin buatan China itu.
Katanya, bekalan vaksin akan dibuat secara berperingkat sehingga hujung tahun ini termasuk menerusi kaedah pengisian dan pembotolan serta secara pukal.
“Kita perlu terus bergerak ke hadapan tanpa perlu menunggu jika ada kelewatan daripada pembekal yang telah kita buat perjanjian sebelum ini.
” Untuk itu Sinovac telah mencukupi untuk bekalan di negara kita. Ditambah pula dengan vaksin satu dos iaitu CanSino yang boleh kita gunakan untuk tempat terpencil atau di kawasan yang sukar untuk menerima dua dos,” katanya dalam sidang akhbar di Technology Park Malaysia (TPM) hari ini.
Beliau terdahulu melawat kemudahan Solution Group Berhad, di TPM Bukit Jalil di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu enam negeri yang kadar vaksinnya rendah mencapai lebih 50 peratus suntikan menjelang hujung bulan depan.
Perdana Menteri berkata, enam negeri terlibat adalah Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah memandangkan kadar vaksin masih rendah bawah 50 peratus.
Dalam pada itu Dr. Adham berkata, Malaysia akan memberi tumpuan kepada kajian dan penyelidikan terutama berkaitan dengan pengeluaran vaksin pertama.
“Pembangunan vaksin dan pelan jangka panjang yang dilaksanakan kementerian akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Peta kerangka (roadmap) Pembangunan Vaksin Negara kini sedang dalam penyusunan draf akhir,” ujarnya.
Mengulas lanjut Dr. Adham berkata, Malaysia mempunyai kepakaran tinggi dalam bidang biologi molekul, genomik dan teknologi serta mampu mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksinnya sendiri.
“Pembangunan dan penyelidikan vaksin akan menjadi salah satu agenda utama kementerian bagi memacu sains, teknologi dan inovasi agar negara berupaya menghasilkan vaksin sendiri bagi tujuan kesihatan serta keselamatan ekonomi,” katanya.-UTUSAN ONLINE