Bekas Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 didakwa buat hantaran jelik - Utusan Malaysia

Bekas Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 didakwa buat hantaran jelik

SARAJUN Hoda Abdul Hassan dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Taiping hari ini setelah selesai prosiding pendakwaan membuat hantaran komunikasi jelik di Facebook pada April lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang aktivis politik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi akaun Facebook miliknya, April lalu.

Tertuduh, Sarajun Hoda Abdul Hassan, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Sarajun Hoda yang juga bekas Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui Facebook dengan menggunakan laman profil ‘Sarajun Hoda’ di pautan https://www.facebook.com/sarajun.hassan pada pukul 9 pagi hingga 12.52 tengahari, 26 April 2021.

Pautan itu kemudiannya dibaca pada pukul 9 pagi di Taman Wawasan Jaya, Parit Buntar pada 27 April 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Manjit Singh Saini.

Terdahulu, Sariza menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 namun peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang proses siasatan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Mahkamah turut menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan hantaran dimuat naik oleh Sarajun Hoda di laman Facebooknya, dia telah menyenaraikan sembilan perkara untuk menjadi lima negara teratas dalam tempoh 10 tahun termasuk membuang agama Islam sebagai agama rasmi, penutupan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), membuang agama dalam urusan kerajaan dan sekolah dan memaksa sekolah-sekolah agama untuk cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan sains. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN