ALOR SETAR: Pihak berkuasa diminta membawa segera pihak yang bertanggungjawab mendera kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) down syndrome berumur 13 tahun yang dikenali Bella ke muka pengadilan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, difahamkan, pihak berkuasa telah selesai menjalankan siasatan kes tersebut dan mereka menunggu tindakan daripada pihak pendakwa raya.
Menurutnya, tindakan membawa kes tersebut ke muka pengadilan diharapkan dapat memberi pengajaran kepada pihak-pihak lain supaya kes yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Saya juga telah berhubung dengan pihak berkuasa untuk bertanyakan status (kes Bella) dan dimaklumkan siasatan telah dibuat dan telah selesai, serta (ketika ini) tengah menunggu (tindakan) daripada pihak pendakwa raya untuk meneruskan kes ini (ke peringkat) seterusnya.
“Kita pun hendak pesalah ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya ia akan jadi satu pengajaran kepada yang lain” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena di sini hari ini.
Pada 12 Julai lalu, tular dalam ruangan Twitter mengenai isu penderaan kanak-kanak OKU syndrome itu yang diselamatkan pihak polis dalam keadaan melecur dan bernanah di beberapa bahagian anggota badan.
Sehari selepas itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan siasatan kes tersebut dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian pihak pendakwaan.
Mangsa difahamkan sepatutnya berada di bawah jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.
Selain itu, Rina memberitahu, kanak-kanak itu dilaporkan semakin menunjukkan perubahan positif apabila dilihat mulai ceria selain luka-luka di badannya sudah kembali pulih.
“Ketika ini, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan tahap kesihatannya serta pembangunan emosi remaja berkenaan berada pada tahap terbaik,” katanya. -UTUSAN ONLINE