PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam Hari Jualan Dalam Talian (AOSD) 2021 dijangka meningkatkan peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke negara-negara ASEAN dalam menghadapi cabaran pandemik.
AOSD yang bermula hari ini hingga lusa itu diselaraskan secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, perusahaan tempatan yang mengambil bahagian dalam AOSD 2021 bakal memperluas pangkalan data pelanggan mereka sehingga ke luar ASEAN.
“MITI optimis inisiatif ini akan memberi pelbagai manfaat kepada PKS tempatan.
“PKS perlu merebut peluang ini dan memulakan usaha kolaborasi dengan rakan-rakan ASEAN di samping memanfaatkan platform e-dagang yang dapat memudahkan mereka menembusi pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri menambah, ASEAN didiami 675 juta orang dan 400 juta daripada mereka membeli-belah secara dalam talian.
“Ini bukan hanya pasaran yang besar, tetapi juga pasaran yang mesra bagi perniagaan tempatan kita. Peluang yang dicipta oleh AOSD 2021 penting dalam mempertahan perniagaan dalam tempoh sukar ini,” ujarnya.
AOSD tahun lalu menyaksikan kejayaan luar biasa bagi PKS Malaysia dengan lebih 600,000 transaksi merangkumi lebih 46 juta produk daripada pelbagai sektor termasuk barang dan perkakas rumah, fesyen, produk aksesori, makanan sehingga mencatat perolehan jualan lebih RM100 juta.
AOSD adalah bukti jelas komitmen berterusan rantau ini untuk terus mengembangkan e-dagang sebagai saluran untuk memasarkan barang dan perkhidmatan tanpa gangguan di ASEAN, terutamanya semasa dan selepas wabak Covid-19.
Ia juga berfungsi sebagai platform yang relevan untuk mempamerkan potensi dan nilai pasaran e-dagang serantau.
The Malaysia Pavilion di AOSD akan menampilkan produk dan perkhidmatan dari 53 perusahaan tempatan di platform e-dagang seperti BuyMalaysia, Alibaba.com, DesaMall, Lokein, PG Mall, Shoppymore, eJazmine, Shopee Malaysia, Zalora Malaysia, Tourplus, Minebiz, EasyStore, DagangHalal, Digasto, Halal Street UK, Elokal, TRAPO, Hanker Makanan, SiteGiant, PayHalal, Pazarme dan Youbeli.com.
Selain itu, MATRADE juga akan mengatur program eBizLink untuk memudahkan pemadanan perniagaan syarikat Malaysia dengan pembeli dari seluruh ASEAN.
Rakyat Malaysia boleh mula mengakses portal AOSD melalui www.onlineasean.com mulai sekarang sehingga 10 Ogos 2021. – UTUSAN ONLINE