ALOR SETAR: Kalangan Ahli Parlimen pembangkang dijangka tetap hadir ke Parlimen walaupun sesi terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada esok telah ditangguhkan ke tarikh yang lain.
Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, kehadiran Ahli-Ahli Parlimen pembangkang itu bagi membuktikan mereka telah dihalang daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, pembangkang telah memutuskan demikian sejak Khamis lalu setelah mereka terlebih dulu menjangkakan penangguhan bagi sesi terakhir esok.
“Melihat bagaimana persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan beberapa kali pada Khamis lalu, kami sudah menjangkakan lebih awal bahawa persidangan pada Isnin ini (esok) juga akan diusahakan untuk dibatalkan.
“Disebabkan itu kami telah membuat keputusan untuk tetap hadir ke Parlimen pada Isnin ini walau apa pun terjadi dan ternyata, telahan kami itu benar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan Covid-19.
Selain Mahfuz, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengesahkan yang beliau akan hadir ke Parlimen esok menerusi satu status dimuat di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, terdapat beberapa keraguan berhubung kenyataan penangguhan sidang Parlimen tersebut lebih-lebih lagi melibatkan Peraturan Mesyuarat diguna pakai Perdana Menteri.
“Perkara 11 dalam Peraturan Mesyuarat seperti dinyatakan itu bukanlah berkaitan penangguhan sebaliknya melibatkan hal untuk mengawalkan mesyuarat.
“Selain itu Setiausaha Dewan Rakyat turut memaklumkan bahawa beliau telah diarahkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon untuk mengemukakan pemberitahuan tersebut kepada Ahli Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, beliau percaya penangguhan persidangan esok dilakukan kerana Muhyiddin tidak yakin memiliki sokongan mencukupi untuk membuktikan keabsahannya selaku Perdana Menteri.
“Kalau Muhyiddin betul-betul yakin memiliki sokongan, beliau sepatutnya membawa usul undi percaya terhadap dirinya di Dewan Rakyat esok dan bukan menangguhkannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE