IPOH: Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria patuh kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Perkara itu dinyatakan oleh Mohd. Nizar dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
“Saya patuh kepada keputusan parti. Parti melalui MT telah membuat keputusan serta ketetapan. Sebagai ahli parti saya ikut keputusan parti,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.
Setakat ini dua menteri UMNO telah meletak jawatan daripada Kabinet iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah. – UTUSAN ONLINE