MELAKA: Ahli Parlimen Kota Melaka daripada DAP, Khoo Poay Tiong selesai membuat laporan dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran ‘lompat parti’ yang diterimanya, sejak Jumaat lalu.
Poay Tiong berkata, selepas pendedahannya di laman sosial Facebook berkenaan tawaran sebagai menteri, pihak SPRM telah menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Ujarnya, semakin ramai ahli Parlimen pembangkang mula menerima mesej sedemikian, iaitu selain empat daripada DAP, dikhabarkan terdapat lima ahli Parlimen PKR turut ditawarkan ‘durian RM30’ berkenaan.
“Sebenarnya setelah saya mendedahkan isu tersebut, SPRM telah menghubungi saya semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Hari ini, saya berjumpa dengan dua pegawai yang datang dari Putrajaya. Saya mengucapkan terima kasih kepada SPRM yang prihatin dan pantas dalam mengambil tindakan.
“Semua laporan dan urusan dijalankan secara lancar dan profesional,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dilaporkan menerima tawaran sebagai menteri antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran dan Ahli Parlimen Ipoh Utara, Wong Kah Woh.
Berdasarkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang didedahkan, individu tersebut meminta mereka keluar daripada bayangan ‘keluarga Lim’, memandangkan khidmat wakil bukan Melayu amat diperlukan sekarang.
Dalam pada itu, Poay Tiong menambah, beliau tidak menolak bahawa mesej berkenaan berkemungkinan adalan usikan semata-mata, namun ia juga boleh menjadi cubaan awal untuk memancing sokongan.
“Tetapi kita perlu memandang serius terhadap isu ini kerana ia berkait rapat dengan rasuah dan situasi politik semasa.
“Yang pasti ialah dalam tempoh sebulan ini memang akan ada banyak lagi percubaan untuk mengugut dan membeli sokongan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE