Abang sempat telefon beritahu bot karam - Utusan Malaysia

Abang sempat telefon beritahu bot karam

MOHD. Norizan Jusoh (tengah) dibawa ke darat selepas bot dinaiki dia dan rakannya karam pada malam kelmarin di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Keluarga nelayan yang terlibat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Sedili, di sini tidak tidur malam kerana terlalu bimbang memikirkan keselamatan abang sulung mereka yang belum ditemukan pada masa itu.

Adik kepada Mohd. Norizan Jusoh, 38, yang hanya mahu dikenali sebagai Nisah, 35, berkata, ketika bot karam, abangnya sempat menghubungi dia untuk memaklumkan kejadian itu tetapi perbualan mereka kurang jelas.

“Abang keluar ke laut dengan rakannya untuk menangkap ikan kira-kira pukul 6.30 petang, kelmarin tetapi pada pukul 7.45 malam angin sudah pun mula bertiup kuat. Ketika bot karam abang sempat hubungi saya tapi tak berapa dengar.

“Kemudian saya hubungi kembali dia untuk bertanya keadaan mereka, ketika itu abang maklumkan bot mereka sudah karam tetapi dia dan rakannya selamat dan sedang menunggu bantuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Akhbar melaporkan dua nelayan terpaksa ‘bergelut’ dalam air lebih sembilan jam selepas bot mereka karam dipukul ombak dalam kejadian terbabit sebelum diselamatkan bot pemancing pada pukul 8.15 pagi, semalam.

Kedua-dua mereka yang memakai jaket keselamatan hanya berpaut dengan pelampung sejak terapung di laut dalam kejadian pada pukul 10.45 malam kelmarin, malah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ditugaskan untuk mencari juga hampir terbalik akibat ombak yang kuat.

Bagaimanapun, Mohd. Norizan dan rakannya, Abdul Halim Ghani, 50, ditemukan selamat pada kedudukan empat batu nautika timur laut dari lokasi bot mereka yang karam.

Sementara itu, Nisah berkata, abangnya yang masih belum berumah tangga dan menetap di rumah ibu bapa mereka di Kampung Teluk Jeri Luar kini sedang dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) ekoran terlalu banyak tertelan air laut.

“Kami memang tak tidur malam masa itu kerana bimbang dengan keadaan abang, apabila dapat tahu abang selamat barulah hati kami lega.

“Kini keadaan abang agak lemah kerana terlalu banyak terminum air masin sehingga sakit di bahagian dada. Buat sementara ini dia ditahan di wad sehingga keadaanya pulih,” katanya.

Meskipun mereka dilahirkan sebagai anak jati nelayan dengan Mohd. Norizan sendiri sudah mula turun ke laut sejak usia 15 tahun, namun kejadian itu tetap merisaukan Nisah sekeluarga sepanjang masa kerana keadaan cuaca di laut yang tidak menentu seperti menimpa abangnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya