85 peratus terumbu karang terancam - Utusan Malaysia

85 peratus terumbu karang terancam

Terumbu karang diperairan Sabah yang akan terancam jika aktiviti bom ikan berterusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Aktiviti pengeboman ikan secara berterusan boleh mengancam 85 peratus terumbu karang di kawasan pesisir pantai.

Maka, kesedaran komuniti pesisir pantai perlu ditingkatkan bagi membolehkan mereka sama-sama menjaga khazanah marin di Sabah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pasukan Program Marin Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia) di Semporna, Herminatalia Tabar berkata, mereka mula memasang alat pengesan bom ikan di perairan Semporna sejak Jun 2018.

Namun, pada tahun lalu, insiden pengeboman ikan dilihat semakin berkurangan susulan kehadiran pihak berkuasa melakukan rondaan di perairan Semporna.

MUHAMMAD ADZMIN FATTA

“Apabila letupan bom berlaku, terumbu karang akan musnah dan keseimbangan ekologi marin akan terganggu. Situasi ini bukan hanya memusnahkan terumbu karang di perairan Sabah, tapi turut menjejaskan industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pengeboman ikan di Semporna turut menunjukkan penurunan kira-kira 73 peratus pada 2019. WWF-Malaysia percaya alat pengesan bom ikan yang dipasang memudahkan proses pengumpulan data bagi membantu pasukan keselamatan membuat pemantauan.

Sementara itu, Pengasas Bersama Blue Fin Surf & Dive Kudat, Camuel Tsen berkata, mereka pernah mendengar bunyi letupan bom ikan dua kali seminggu semasa melakukan aktiviti selaman berhampiran rumah api di Simpang Mengayau, Kudat.

“Situasi ini menyebabkan penyelam cemas dan memberi tanggapan yang kurang baik kepada penyelam baharu dan berkemungkinan mereka tidak lagi mahu menyelam di sini,” katanya.

Camuel berkata, aktiviti pengeboman ikan bukan hanya merosakkan ekosistem marin di perairan Sabah tetapi, ia akan menjejaskan industri pelancongan berasaskan selam skuba.

Sementara itu, Pengurus Program Reef Check Malaysia, Muhammad Adzmin Fatta berkata, insiden pengeboman ikan di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud mula menunjukkan penurunan bagi tempoh 2014 hingga 2019.

Trend penurunan ini berikutan usaha berterusan Reef Check Malaysia bagi membantu penduduk setempat untuk menceburi aktiviti ekonomi lain. Melalui Program Cintai Mantanani, program pemerkasaan dan latihan diberikan kepada penduduk setempat agar mereka tidak lagi bergantung kepada aktiviti perikanan.

“Kami juga mengadakan program kesedaran mendidik golongan belia untuk menanam batu karang supaya mereka akan menghargai dan melindungi batu karang di perairan Pulau Mantanani,” katanya.

Menurut beliau, sekarang sudah ramai penduduk tempatan mula beralih kepada sektor pelancongan dengan mengusahakan inap desa (homestay) bagi menyediakan penginapan untuk pelancong.

Aktiviti pengeboman ikan bukan hanya menjejaskan sektor pelancongan tetapi juga kehidupan penduduk yang menangkap ikan dengan cara yang betul.

Namun, sejak kebelakangan ini, orang kampung memberitahu kebanyakan pengebom ikan datang dari tanah besar seperti Kota Belud dan Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

Sabah antara negeri yang terkenal dengan aktiviti selam skuba terutama di Pulau Sipadan yang merupakan destinasi selaman bertaraf dunia. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya