53,908 isi rumah di Johor dalam kategori miskin mutlak - Utusan Malaysia

53,908 isi rumah di Johor dalam kategori miskin mutlak

HASNI-Mohammad-ketika-berucap-pada-majlis-pelantikan-dan-angkat-sumpah-Datuk-Bandar-Johor-Bahru-ke-13-di-Menara-MBJB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 53,908 isi rumah di negeri ini berada dalam kategori miskin mutlak dengan pendapatan isi rumah mereka lebih rendah daripada nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, keadaan itu membuatkan golongan berkenaan sukar menampung kos keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat berteduh.

“Berikut merupakan hakikat yang amat pahit untuk kita terima. Hasil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti, ramai antara isi rumah di Johor sebenarnya telah terjerumus ke dalam kemiskinan.

“Oleh itu, cukuplah saya menyatakan bahawa cabaran utama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah untuk mengagihkan kekayaan bagi merapatkan jurang kesenjangan ekonomi dalam kalangan masyarakat bandar. 

“Tentu sekali, ia memerlukan pendekatan yang lebih spesifik dan lebih inklusif daripada sebelumnya,” katanya semasa berucap dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah Datuk Bandar Johor Bahru ke-13, Datuk Noorazam Osman di Menara MBJB, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hasni memberitahu, Belanjawan Johor 2022 akan menekankan elemen pengupayaan golongan memerlukan dalam kesemua 12 Agenda Kebajikan, Pemberdayaan dan Keberhasilan.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama MBJB berupaya menawar dan melaksana dasar dan inisiatif mengikut kesesuaian kawasan pentadbiran masing-masing. Suka untuk saya ingatkan bahawa ukuran kepada prestasi sesebuah PBT tidak harus disandarkan kepada jumlah kutipan cukai dan simpanan kekayaan semata-mata.

“Sebaliknya, prestasi sesebuah PBT juga harus diukur dengan mengambil kira program pembasmian kemiskinan dan pemberdayaan masyarakat yang dilakukan,” ujarnya.

Sementara itu, Hasni berkata, perancangan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri pada masa depan akan mengambil kira impak pandemik Covid-19 terhadap keberkesanan program yang ingin dilaksanakan.

Kata beliau, kesediaan sektor ekonomi seperti sosial dan industri untuk hidup dalam ‘norma baharu’ juga bakal mempengaruhi momentum pemulihan ekonomi, manakala dasar dan inisiatif yang dirancang harus berdaya tahan serta berupaya memberi impak yang cepat kepada kehidupan rakyat.

“Meskipun rakyat sudah divaksin sepenuhnya, Covid-19 tetap akan ada dan penutupan lokaliti secara berfokus seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dapat dielakkan.

“Inisiatif dan program perlindungan sosial diberikan harus tepat kepada golongan sasar dengan kadar yang munasabah, agar bebanan mereka dapat segera diringankan. Ia boleh diberikan sama ada kepada golongan sasar yang sama atau pun yang berlainan secara berfasa-fasa.

“Seperti contoh, saya amat berbangga melihat projek pembinaan Pusat Transit Gelandangan Johor Bahru dengan kos RM7.64 juta yang terletak di Taman Larkin Perdana, bakal disiapkan Julai tahun depan.

“Selain itu, regulasi perniagaan sepatutnya dipermudah dan peniaga kecil haruslah diberi sokongan berterusan, sementara birokrasi wajar dipendek dan iberalisasi terhadap ekosistem perniagaan mesti dilakukan bagi memastikan potensi ekonomi tempatan terutama Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat dimaksima,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya