513 pelajar kurang berkemampuan terima komputer riba - Utusan Malaysia

513 pelajar kurang berkemampuan terima komputer riba

HAJIJI Noor (tengah) beramah mesra dengan pelajar SMK Kudat, Muhd Azman selepas menyampaikan bantuan komputer riba di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Seramai 513 pelajar kurang berkemampuan kini boleh menarik nafas lega apabila terpilih sebagai penerima komputer riba sumbangan kerajaan negeri.

Pemberian komputer riba itu sebagai usaha kerajaan untuk membantu memudahkan pelajar yang kurang berkemampuan bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajara di Rumah (PdPR).

Komputer riba itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kepada Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr. Kassim Hussein pada majlis pelancaran program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) hari ini.

Bagi daerah ini, komputer riba akan diserahkan kepada pelajar yang layak melalui Pegawai Pendidikan Daerah, Kusdi Ribut.

Sebanyak 10,000 unit komputer riba disediakan untuk pelajar kurang berkemampuan  yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi fasa pertama program BAIK menerusi kerjasama yang dijalankan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS).

“Kedua-dua pihak sudah mengenal pasti penerima yang layak iaitu membabitkan seramai 9,842 pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan serta 158 pelajar sekolah menengah agama negeri,” katanya.

Komputer riba itu dibekalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah melalui Sabah Net bermula 19 Julai lalu.

Jelas Hajiji, pemberian komputer riba berkenaan bukan hanya memudahkan proses PdPR tetapi juga, untuk kegunaan pelajar apabila mereka memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada masa akan datang.

BAIK disokong oleh perkhidmatan VSAT ConnectMeNow dan Program Jalinan Digital Negara (Jendela).

Terdahulu, Hajiji turut menyerahkan sendiri komputer riba kepada seorang pelajar SMK Kudat Muhd Azman Sumar, 19, di Kampung Landung Ayang.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan replika cek berjumlah RM144,000 kepada Kassim untuk disampaikan kepada seramai 72 pelajar cemerlang STPM 2020 yang akan menerima RM2,000 setiap seorang.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN