16 kes seleweng LPG bersubsidi berjaya dibanteras - Utusan Malaysia

16 kes seleweng LPG bersubsidi berjaya dibanteras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan penguat kuasaan secara berterusan terhadap penyelewengan barang kawalan bersubsidi Gas Petroleum cecair (LPG) berjaya dibanteras melibatkan nilai pembekuan sebanyak RM48 juta dengan nilai penyitaan RM21.5 juta manakala pelucuthakan bernilai RM1.1 juta sejak 2016 sehingga hari ini. 

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kejayaan terbabit adalah melibatkan 16 kes susulan usaha serius berterusan ke atas aktiviti penyelewengan pemindahan LPG daripada tong 14 kilogram (kg) iaitu bersubsidi kegunaan domestik kepada tong LPG 50 kg kegunaan industri. 

Katanya, aktiviti pemindahan barang kawalan dan subsidi secara haram ini dipanggil  Decanting dilihat merugikan negara dan rakyat. 

“Bagi menunjukkan betapa serius KPDNHEP membendung sebarang penyelewengan terhadap barang kawalan bersubsidi terutamanya LPG, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 atau Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activity Act (AMLATFPUAA) 2001 dikuat kuasakan sekali gus tindakan tegas terhadap pihak menjalankan aktiviti perdagangan yang tidak mengikut undang-undang dan memanipulasi keuntungan yang diperoleh hasil daripada aktiviti perdagangan tidak sah.

“Penguatkuasaan pengubahan wang haram ini memfokuskan kepada kes-kes profil tinggi seperti perlindungan harta intelek, penyelewengan barang kawalan melibatkan LPG, minyak masak, diesel dan petrol serta aktiviti jualan langsung atau skim piramid yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Azman berkata, atas ketegasan itulah beberapa tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang berkaitan dengan kesalahan predikat di dalam Jadual Kedua AMLATFPUAA 2001 dihasilkan terhadap aktiviti decanting ke tong 50 kg (kegunaan industri) dan tin gas untuk kegunaan dapur portable 230g termasuk dua kes terbaharu melibatkan sitaan LPG di Seri Kembangan, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini. 

“Pihak KPDNHEP juga membuat penambahbaikan ke atas regim pelesenan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam usaha mengekang penyelewengan LPG melibatkan aktiviti decanting daripada tong 14 kg kepada tong 50 kg industri.

“Ini adalah usaha komited mempergiatkan penguatkuasaan pengubahan wang haram ini, bagi tujuan membanteras aktiviti-aktiviti jenayah perdagangan dalam negeri ke peringkat akar umbi terutama kes-kes yang dikategorikan sebagai bersindiket dan terancang yang mungkin boleh membawa gangguan bekalan dan menggugat kestabilan serta ekonomi negara,” katanya. 

Sabtu lalu, enam lelaki termasuk empat warga Myanmar ditahan dalam satu serbuan di sebuah stor yang dijadikan lokasi penyelewengan LPG bersubsidi di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Azman berkata, serbuan terbabit berjaya melumpuhkan sindiket yang menjadikan stor tersebut sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi 14 kg ke dalam tong gas LPG kegunaan industri dan kepada tin gas untuk kegunaan dapur portable 230 gram selepas risikan selama tiga minggu yang mana premis ini beroperasi menjalankan aktiviti decanting sejak dua bulan lalu.

“Pemeriksaan menemui sebanyak 126 tong 50 kg LPG (berisi dan kosong) untuk kegunaan industri, 136 tong 14 kg (berisi dan kosong) untuk kegunaan domestik dan 1500 Tin Liquefied Butane Catridge (berisi dan kosong) serta pelbagai peralatan pemindahan gas LPG seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik ais bagi tujuan aktiviti memproses pemindahan gas LPG manakala sebuah lori kargo am had muatan lima tan yang dipenuhi dengan tong gas LPG 14 kg turut disita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya