KUALA LUMPUR: Seramai 12 ahli Dewan Negara yang terdiri daripada lantikan Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyerahkan surat memorandum kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, melalui Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah di pekarangan bangunan Parlimen, hari ini.
Senator Mohd. Yusmadi Mohd Yusoff berkata, Parlimen sepatutnya dijadikan tempat selamat yang boleh bersidang kerana lebih 90 peratus ahli dan petugasnya divaksin.
Katanya, pihaknya khuatir penangguhan sidang Parlimen berkemungkinan mempunyai motif poltiik.
“Dalam kandungan surat, kami mengatakan bahawa kami kesal kerana penangguhan persidangan Dewan Negara dalam tempoh jangka masa yang singkat.
“Kami kesal cara proklarimasi Ordinan Darurat dibatalkan tanpa melalui persidangan dan perbahasan di Dewan.
“Maka apabila (hak) kami dinafikan untuk bersidang, ia bermaksud bahawa lantikan ini (Seri Paduka Baginda) tidak dihormati,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Hari ini sepatutnya menjadi hari pertama Sidang Khas Dewan Negara.
Menurut Mohd Yusmadi, tujuan persidangan Dewan Negara adalah menjadi semak imbang kepada perkara yang berlaku di sidang Dewan Rakyat.
“Maka, apa-apa ketidakpatuhan boleh dipulihkan di sidang Dewan Negara,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran ahli Dewan Negara hari ini juga tidak mewakili mana-mana kepentingan parti politik, tetapi mewakili lantikan Seri Paduka Baginda.
“Kami bersedia demi rakyat dan bukannya berpolitik seperti yang digempar-gempurkan,” katanya.
Turut hadir Senator Ismail Yusop (Selangor), Senator Alan Ling Sie Kiong (Sarawak) dan Senator Adrian Lasimbang (Sabah) yang menyatakan kekesalan dan berikutan penangguhan itu kerana tidak dapat menyuarakan hak serta suara rakyat. – UTUSAN ONLINE