100 dijangka guna kaunter pandu lalu JPJ Perak - Utusan Malaysia

100 dijangka guna kaunter pandu lalu JPJ Perak

MOHAMMAD Yusoff Abustan (dua dari kanan) melepaskan kenderaan JPJ pada Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 Peringkat JPJ Cawangan Seri Manjung di Lumut hari ini. - UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menjangka kira-kira 100 pengguna kenderaan mengambil peluang menggunakan perkhidmatan kaedah pandu lalu bagi memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bermula Khamis ini.

Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan berkata, perkhidmatan itu dilaksanakan di ibu pejabat JPJ Perak di Ipoh bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran dua perkhidmatan itu memandangkan tarikh moratorium akan tamat pada 30 September depan.

“Transaksi dilakukan secara tunai sahaja bermula 9 pagi hingga 12.15 tengah hari bermula Khamis ini sehingga 30 September depan,” katanya selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Hari Kemerdekaan ke-64 Peringkat JPJ Cawangan Seri Manjung, di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Yusoff, JPJ Perak sudah melakukan sesi percubaan bagi kaedah tersebut sejak semalam bagi memastikan semua proses berjalan lancar.

Beliau menjelaskan pada sesi percubaan sebanyak 240 transaksi berjaya dilakukan dengan nilai keseluruhan RM12,114 melibatkan 56 kenderaan.

“Kaedah ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan sekali gus memberi peluang orang ramai berurusan tanpa perlu membuat janji temu seperti yang dilaksanakan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Yusoff menjelaskan Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak mengeluarkan lima kompaun terhadap kenderaan pekerja dalam Ops Patuh sejak 5 Julai lalu.

Tegasnya, kompaun itu dikeluarkan kerana kenderaan tersebut gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu dengan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Menurut beliau, semua kompaun berjumlah RM16,000 itu dikeluarkan terhadap kenderaan pekerja di sekitar Ipoh.

Jelasnya lagi, tindakan itu selaras dengan penurunan kuasa kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 432) kepada Pegawai Pengangkutan Jalan.

“Tumpuan operasi kami lebih kepada kenderaan perkhidmatan awam dan perdagangan seperti teksi, kereta sewa, bas pekerja dan bas ekspres,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya