GEORGETOWN: Setiap kali musim ibadah haji bermula, isu berkaitan sindiket penipuan badal haji pasti hangat diperkatakan memandangkan ramai umat Islam di Malaysia menjadi mangsa penipuan perkhidmatan ibadah berkenaan.
Musim haji kali ini juga tidak terkecuali daripada dibelenggu isu sama walaupun ibadat haji ketika pandemik Covid-19 akan dilaksanakan dengan jemaah yang terhad serta harga pakej yang lebih mahal.
Seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di Mekah, Muhammad Syaharuddin Shahari, 36, berkata, ketika musim haji semakin hampir, pihaknya kerap dihujani dengan pertanyaan dari umat Islam di Malaysia mengenai pelaksanaan badal haji termasuk untuk tahun ini.
Muhammad Syaharuddin yang berpengalaman sebagai pembimbing dan konsultan haji di Mekah berkata, bagi tahun ini, kos paling minimum untuk pelaksanaan badal haji adalah sekitar RM15,000 dan tidak wujud perkhidmatan yang dapat melaksanakan badal haji pada kadar RM2,000 hingga RM3,000.
“Pada masa ini, hampir setiap hari saya menerima pertanyaan daripada umat Islam di Malaysia mengenai badal haji.
“Kos bagi pakej haji musim ini yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah antara RM15,000 hingga RM21,000, jadi, ingin saya ingatkan tiada pakej yang dapat tawarkan badal haji dengan harga murah pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Mekah hari ini.
Sebelum ini, Lembaga Tabung Haji turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.
Menurut Muhammad Syaharuddin, dia tidak mahu rakyat Malaysia terus terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan pelaksanaan badal haji dengan kos murah kerana bimbang ibadah tersebut tidak dilaksanakan oleh individu yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.
“Relevan atau tidak badal haji dengan kos sekitar RM2,000 sedangkan di Mekah sendiri pun mereka yang ingin tunaikan haji wajib ada permit dan permit itu perlu dibayar termasuk pakej haji kira-kira RM15,000,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Syaharuddin berkata, umat Islam yang telah membayar kos bagi melaksanakan badal haji sebaiknya-baiknya menarik balik hasrat berkenaan dan meminta wang mereka dipulangkan semula.
“Jika individu berkenaan tidak mahu memulangkan wang, sewajarnya orang yang membayar kos badal haji timbulkan persoalan kepada individu berkenaan.
“Mereka boleh tanya berkenaan permit haji, maklumat pembadal haji dan jika boleh ketika laksanakan badal haji, mereka perlu minta individu berkenaan siarkan ibadah tersebut secara langsung menerusi dalam talian,” katanya.
Tambahnya, perkara penting jika ada pihak yang berhasrat untuk melaksanakan badal haji ialah mereka perlu pastikan pelaksana badal telah melaksanakan haji pertama (haji wajib) untuk diri sendiri terlebih dahulu.
“Mereka juga perlu pastikan pelaksana badal haji hanya memiliki satu badal haji sahaja dan tidak boleh lebih sama sekali dan pembuat badal haji mempunyai permit haji rasmi yang telah berjaya didaftarkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE