Usah tuding jari isu kematian dua pelajar UiTM - Utusan Malaysia

Usah tuding jari isu kematian dua pelajar UiTM

UNIVERSITI Teknologi Mara dijangka menerima naib canselor baharu dalam tempoh terdekat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (Mitasa) berharap tidak ada mana-mana pihak yang membuat tuduhan melulu berhubung isu kematian dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM)  baru-baru ini.

Ini selepas Exco Mitasa meneliti beberapa laporan media yang mengaitkan kematian kedua-dua pelajar terbabit dengan tekanan melampau yang diterima disebabkan tugasan ilmiah yang perlu dilengkapkan dan perlu dihantar di samping persediaan menjelang penilaian akhir yang bermula pada 22 Julai hingga 12 Ogos ini.

“Kami tidak menolak tanggapan bahawa tekanan dan bebanan tersebut menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada punca masalah kesihatan yang dihadapi namun kami juga berharap agar ia tidak dijadikan sebagai satu-satunya punca yang menyumbang.

“Setelah kami teliti beberapa maklumbalas sebahagian warga maya (netizen) yang mengatakan bahawa ia sebagai satu-satunya punca serta meletakkan kesalahan di atas bahu pensyarah, pusat pengajian serta UiTM secara umumnya, kami berharap agar persepsi tersebut dapat dihindarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, sejak konsep pembelajaran terbuka atau Open Distance Learning (ODL) diperkenalkan, kesemua pensyarah menerusi ketua-ketua pusat pengajian telah ditekankan berkenaan kaedah penyampaian dan penilaian perlu mengambil kira keadaan semasa serta kekangan-kekangan yang dihadapi oleh pelajar.

“Di samping itu, pelajar juga telah dimaklumkan seawal minggu pertama pada setiap semester berkenaan kaedah pembelajaran, tajuk-tajuk perbincangan serta penilaian yang perlu dilalui dan kesemua ini juga telah diluluskan di peringkat pusat pengajian serta Bahagian Hal Ehwal Akademik.

“Semasa ODL ini masih dijalankan pula, pensyarah juga telah diingatkan untuk sedikit fleksibel dengan jumlah tugasan serta tarikh akhir penghantaran. Justeru, merujuk kembali kepada apa yang telah berlaku, kami percaya pensyarah-pensyarah di kedua-dua cawangan UiTM itu juga telah menjalankan tugas mereka seperti mana yang telah diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Oleh itu, Mitasa menyifatkan pensyarah sememangnya sangat memahami batas-batas tugas masing-masing malahan dari hari pertama menjalankan tugas lagi telah menandatangani surat akujanji yang antara isinya termasuklah menjalankan tugas dengan penuh komitmen, jujur serta menghormati orang sekeliling khususnya pelajar.

“Justeru, kami berharap agar ruang yang sewajarnya harus diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejadian yang menimpa kedua-dua pelajar berkenaan tanpa perlu hanya menuding jari kepada satu pihak atau punca semata-mata.

“Kami percaya pihak UiTM sendiri telah menjalankan siasatan dan sekiranya benar pensyarah yang terlibat bertanggungjawab, kami di Mitasa sendiri sama sekali tidak akan menyokong pensyarah terbabit,” katanya.

Mitasa juga mengingatkan bahawa semua pihak perlu menghormati hasil siasatan serta laporan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kami di Mitasa sekali lagi ingin menzahirkan rasa dukacita dengan apa yang telah terjadi serta mendoakan kita semua yang terkesan dengan pandemik dapat menjalani pembelajaran dan pengajaran dengan baik,” katanya.

Mitasa  juga menzahirkan ucapan takziah dan dukacita terhadap keluarga pelajar Allahyarhamah Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22 tahun, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Kedah serta keluarga pelajar Allahyarham Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21 tahun, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang.

“Mitasa mendoakan agar Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarhamah Nurul Natasya Ezreen Azemi dan Allahyarham Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini serta berharap keluarga mereka dapat menerima ketentuan Allah ini dengan penuh tabah dan redha,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya