Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pelbagai pihak termasuk warga kampus universiti. Penularan jangkitan kini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana jua.
Terkini terdapat banyak peningkatan kluster berkaitan di tempat kerja seperti kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan sektor perkhidmatan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sering mengingatkan majikan dan pekerja agar sentiasa bertanggungjawab dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.
Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (BPRKKP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Marinah Awang berkata, UPSI mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu pasukan khas iaitu UPSI C-19 Busters pada 8 Februari lalu.
Beliau berkata, pasukan ini terdiri daripada 17 orang sukarelawan dalam kalangan kakitangan UPSI sendiri.
Satu Logo khas turut direka sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada semua sukarelawan pasukan ini.
Menurut beliau, di bawah AKTA514 (Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melindungi para pekerja dan orang yang berada di premis kerja serta menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan para pekerja.
Di samping itu, proses sanitasi itu adalah sebagai salah satu usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 di tempat kerja dan seterusnya jangkitan ke komuniti.
Rasional penubuhan Pasukan C-19 Busters katanya, bertujuan memberi peluang dan pendedahan kepada staf UPSI untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab serta mempunyai perasaan kebersamaan pusat tanggungjawab seperti ROSH, PKU, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, Bahagian Keselamatan, Bahagian Pengangkutan dan lain-lain.
“Ia juga mengurangkan kos perbelanjaan UPSI sekiranya melantik agensi lain melakukan kerja-kerja sanitasi, malah pasukan C-19 Busters mempunyai kapasiti dan keupayaan yang sama untuk menjalankan tugas sanitasi pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.