SEGAMAT: Kejadian luar biasa seorang lelaki menumbangkan seekor lembu jantan untuk disembelih sempena majlis kenduri adalah antara pengalaman sukar dilupakan seorang tukang sembelih, Ishak Asari.
Ishak yang kini berusia 60 tahun berkata, meskipun upacara penyembelihan itu bukan untuk ibadah korban pada Aidiladha, tetapi dia tetap tidak dapat melupakan aksi lelaki berusia lingkungan 60-an itu.
“Kemampuan lelaki bertubuh kecil itu mampu menumbangkan seekor lembu jantan berusia tiga tahun berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi pada bulan Ogos tahun lalu di sekitar Kampung Tenang.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi penyembelihan, lembu itu masih dibiarkan bebas memakan rumput tanpa ditambat.
“Tetapi tidak sampai dua minit, lembu itu menyembah bumi sebaik sahaja bahagian atas kepala lembu itu ditepuk secara lembut oleh lelaki berkenaan sambil membaca potongan ayat suci,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tenang, semalam.
Ishak yang juga imam masjid di kampung itu berkata, seekor lembu atau kerbau sekurang-kurangnya memerlukan empat lelaki dewasa untuk memegang dan memakan masa lebih kurang 40 minit untuk ditumbangkan sebelum disembelih.
“Lelaki itu dikhabarkan salah seorang saudara kepada tuan rumah yang melakukan kenduri doa selamat yang dihadkan kepada 200 tetamu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika itu,” katanya.
Sementara itu, mengimbau kembali penglibatan awalnya sebagai tukang sembelih sejak enam tahun lalu, Ishak menjadi bidan terjun apabila terpaksa menggantikan seorang tukang sembelih yang mengerjakan haji.
“Jadi saya berbesar hati menggantikan beliau kerana pada saya ia perkara yang baik dan mengikuti syarat-syarat sah ibadah korban,” katanya.
Maka, bertitik tolak daripada hari itu, Ishak menimba ilmu serta pengalaman yang ada untuk meneruskan tanggungjawab itu setiap kali Aidiladha tiba.
Dia yang mempunyai dua bilah pisau yang dikhaskan untuk sembelihan haiwan korban memaklumkan salah satu pisau tersebut adalah peninggalan arwah ayahnya yang juga merupakan tukang sembelih.- UTUSAN ONLINE