KOTA KINABALU: Jika pemandu teksi terpaksa ‘gantung’ kunci ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lain pula ceritanya dengan tukang jahit.
Sebaik sahaja PKP 3.0 dilaksanakan, tukang jahit antara individu yang terkesan kerana tidak dibenarkan beroperasi kerana bukan berada dalam perkhidmatan perlu.
Bagi Rajimah Ismail, 53, tempahan jahitan memang boleh disiapkan di rumah tapi, susulan penutupan sekolah serta pejabat, tiada lagi pelanggan yang menghantar kain untuk dijahit atau iubah suai.
“Kedai kami diarahkan tutup oleh pihak majlis daerah dan hanya dibenarkan buka sekiranya ada pelanggan ingin mengambil baju atau menghantar tempahan.
“Apabila kedai tidak dibenarkan beroperasi sewa tapak masih perlu dibayar dan itu membebankan peniaga kedai jahitan seperti kami.
“Tempahan jahitan tidak lagi seperti dulu. Biasanya pekerja pejabat dan guru-guru sering menghantar tempahan baju kurung untuk dijahit. Tapi sejak pelaksanaan PKP, tempahan semakin berkurang jadi pendapatan kami memang terjejas,” katanya.
Tambah wanita ini, sejak PKP 1.0 mereka sukar untuk bangkit dan pelaksanaan PKP sehingga kini terus meletakkan mereka dalam keadaan tersepit.
Biarpun bantuan penjaja sebanyak RM300 diberikan oleh kerajaan negeri, ia tidak dapat menampung kerugian yang dialami.
Ketika ini, 10 tempahan pun sukar diperoleh dalam tempoh sebulan berbanding kira-kira 50 tempahan sebelum ini.
Rajimah mula membuka kedai di Pasar Am Papar sejak 2008 bagi menampung perbelanjaan keluarga dan anak-anak.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, Foo Ngee Kee berkata, keputusan kerajaan menutup perkhidmatan tidak perlu semasa PKP 3.0 menyebabkan banyak pengusaha usahawan PKS mikro yang terjejas.
Katanya, ramai usahawan PKS mikro juga yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka, maka bantuan sukar untuk disalurkan kepada usahawan sebegini.
“Justeru itu, kerajaan seharusnya membuka lebih banyak sektor ekonomi berbanding memberi bantuan secara berterusan selain mempercepatkan pemberian vaksin bagi membolehkan semua sektor ekonomi dibuka dengan segera,” katanya.- UTUSAN ONLINE