KUANTAN: Kerajaan negeri diminta meneliti satu inisiatif Sempadan Hijau Negeri yang meliputi kawasan sempadan negeri sepanjang 1,087 kilometer dan lebar lebih kurang 500 meter yang merangkumi keluasan 54,350 hektar.
Dalam kenyataannya kepada pemberita, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, ia titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang begitu mengambil berat terhadap isu-isu alam sekitar yang sedang berlaku di negeri ini.
Menurutnya, Tengku Hassanal bertitah sebahagian besar kawasan itu mesti diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) manakala kawasan yang terlibat dengan tanah milik dibangunkan secara lestari selaras konsep alam Sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Baginda bertitah kawasan tersebut perlu menjadi kawasan perlindungan bagi hidupan liar, flora dan fauna sepenuhnya. Baginda mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti pemburuan haram di negeri Pahang.
“Baginda bertitah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) perlu menjalankan penguat kuasaan dengan lebih tegas bagi terus melindungi hidupan liar di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal bertitah kawasan-kawasan strategik bagi hidupan liar, flora dan fauna seperti taman negara, Taman Negeri Endau Rompin, hutan lipur dan hutan rimba, Tasik Chini dan Tasik Bera, Bukit Fraser, gunung-ganang, kawasan gua, tadahan air dan sungai, pantai dan pulau-pulau serta kawasan penempatan Orang Asli terus kekal dipelihara.
Menurutnya, baginda bertitah kerajaan negeri perlu menggiatkan usaha mengenal pasti sumber alternatif selain daripada aktiviti pembalakan dan perlombongan sebagai hasil baharu kepada kerajaan negeri.
“Baginda mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk melabur di negeri Pahang membawa idea-idea baharu yang selari dengan konsep ESG,” katanya.
Dalam pada itu, berhubung dengan langkah pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera UNESCO Tasik Chini, baginda telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri serta Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Baginda bertitah agar usaha pemulihan kawasan tersebut dengan penanaman pokok yang bersesuaian perlu disegerakan,” katanya.- UTUSAN ONLINE