Tembak gajah 70 kali, penjenayah terima hukuman - Utusan Malaysia

Tembak gajah 70 kali, penjenayah terima hukuman

BANGKAI gajah yang ditemukan dengan 70 kesan das tembakan di Sungai Undin, Dumpas, Kalabakan pada dua tahun lalu-IHSAN JHL SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Selepas dua tahun, akhirnya penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan kejam gajah pygmy Borneo dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun di Mahkamah Sesyen dekat sini pada Selasa.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Martin Alok,46, setelah tertuduh mengaku bersalah kerana membunuh gajah pygmy Borneo pada 23 September 2019 di Felda Umas, Kalabakan.

Bagaimanapun, hukuman itu  bermula dari tarikh tertuduh direman pada 4 Oktober 2019.

Tertuduh bersama tiga individu lain didakwa bertindak menembak mati seekor gajah pada jarak dekat dengan melepaskan 70 das tembakan dan kemudian mengikat bangkai gajah tersebut di sebatang pokok di tebing Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan.

Bangkai gajah itu ditemukan sekumpulan pemancing yang kemudian melaporkan kepada polis mengenai penemuan gajah tanpa gading berkenaan. Kesemua suspek ditahan di Felda Umas 4 dan Kampung Felda Umas Kalabakan menerusi Op Khazanah pada 2 Oktober 2019.

Martin dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bagi kesalahan memiliki hasil haiwan yang merupakan spesies dilindungi sepenuhnya.

Hakim turut memerintahkan tertuduh yang merupakan warga Indonesia untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Sabah selepas selesai menjalani hukuman bagi tujuan pengusiran.

Tiga tertuduh lain iaitu Paranchoi Nordin,61, Abdullah Simin,70, dan Jaifol Liun, 54, dilepaskan tanpa dibebaskan bagi hukuman dibawah enakmen berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 22 Oktober 2019, Martin bersama Paranchoi dan Abdullah mengaku bersalah menembak mati gajah tersebut dan kesemua mereka telah menjalani hukuman penjara selama dua tahun pada 2019 di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Jaifol, selaku pengurus ladang pula didakwa bersubahat dan gagal membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai tindakan kesemua suspek menanam gading gajah berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri menerusi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah turut menawarkan ganjaran RM20,000 kepada sesiapa yang tampil memberikan maklumat mengenai kes itu dan ganjaran tersebut sudah diberikan.

Sejak 2010, lebih 100 kematian gajah Borneo dilaporkan akibat aktiviti pemburuan haram dan setakat 2006, kajian mendapati hanya terdapat 2,000 gajah pygmy Borneo yang masih berada di Sabah.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya