GEORGETOWN: “Tiap kali hujan lebat, kami memang tidak dapat tidur lena, bimbang tiba-tiba rumah ditenggelami air.”
Itulah luahan penduduk Kampung Kubur, Batu Ferringhi di sini yang kerap berdepan masalah banjir kilat sejak lebih 10 tahun lalu akibat masalah limpahan air daripada di Sungai Satu yang terletak berhampiran kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Rosli Dahlan,67, berkata, dia telah tinggal di kampung berkenaan sejak 40 tahun lalu dan masalah banjir kilat berkenaan semakin serius berlaku sejak lebih 10 tahun lalu di kampung itu sekiranya hujan lebat berterusan.
“Minggu lalu sahaja lebih 100 penduduk kampung terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat tidak berhenti lebih dua jam, sekarang pula musim hujan jadi memang kami tidak lena tidur apabila hujan.
“Kelmarin juga air naik ke paras buku lali selepas hujan berterusan, nasib baik air laut tidak pasang, jika tidak sudah pasti banjir kilat berlaku lagi,” katanya di sini semalam.
Menurut Rosli, banjir kilat itu didakwa berpunca daripada struktur saliran di Sungai Satu yang tersekat selepas sebuah projek perumahan mewah dibina berhadapan kampung berkenaaan kira-kira tiga tahun lalu.
“Terdapat struktur tembok dibina dipercayai oleh pemaju projek perumahan mewah itu sehingga air sungai sukar mengalir ke laut apabila hujan.
“Ada pam air juga diletakkan di dalam sungai, namun tidak membantu mengurangkan limpahan air sungai ke dalam kawasan kampung apabila hujan lebat,” katanya.
Tambahnya, banjir yang paling buruk berlaku di kampung itu pada 2017 namun sejak akhir-akhir ini, penduduk semakin bimbang kerana banjir kilat sering berlaku terutama ketika air laut pasang dan hujan lebat.
“Barang-barang rumah terutama barang elektrik sering rosak apabila terkena air banjir. Kami juga telah mengadu masalah saliran air sungai ini kepada pihak berkuasa, namun masih juga belum selesai sehingga kini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Maimunah Ali, 58, berkata, masalah banjir kilat di kampung berkenaan telah lama berlaku dan masih belum dapat diselesaikan pihak berkuasa.
“Kami harap saliran di Sungai Satu dapat dibesarkan agar limpahan air sungai dapat dialirkan ke laut sekiranya hujan lebat dan tidak lagi melimpah ke kawasan penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE