BALING,: Seorang suami pilu melihat isterinya yang hanya terlantar akibat lumpuh manakala dia pula yang selama ini bekerja sebagai tukang rumah dan menoreh getah hilang pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ameer Romley, 50, berkata, isterinya, Shazirah Zakaria, 49, terlantar selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan keadaan kesihatannya semakin merosot.
“Sebelum ini, Shazirah boleh berjalan juga walaupun perlahan-lahan dan memegang dinding-dinding rumah, tetapi kini terlantar dan sebelah badan kirinya kejang akibat penyakit lumpuh.
“Ia bermula sejak dua tahun lalu apabila Shazirah menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang agak serius,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Besar, Kupang, semalam.
Menurutnya, Shazirah juga tidak boleh makan dan minum seperti biasa sebaliknya bergantung pada susu khas yang diminum melalui saluran tiup ke dalam hidungnya tiga jam sekali minum.
“Telah dua kali Shazirah dibawa ke Hospital Daerah Kulim untuk ujian Cityscan kerana masalah pembuluh darah di bahagian kepalanya dan jika keadaannya semakin teruk, dia akan dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan selanjutnya.
“Saya risaukan keadaan kesihatannya, tambahan pula kos rawatan mungkin tinggi dan juga kos membeli susu khas untuknya juga tinggi sedangkan saya hilang pekerjaan sebagai tukang rumah sejak PKP tahun lalu,” kata Ameer.
Katanya lagi, kos untuk susu sahaja perlukan RM150 untuk tiga hari, tidak termasuk kos-kos lain seperti ubat-ubatan, lampin pakai buang dan sebagainya.
Menurutnya, dia berharap dapat bekerja semula untuk membeli barangan keperluan mereka dan tugas menjaga isterinya, boleh dilakukan oleh anak tunggal mereka, Khairil Amrin Ameer, 24.
Ameer boleh dihubungi di talian 013-6668891. – UTUSAN ONLNE