STAR mahu tanding lebih banyak kerusi - Utusan Malaysia

STAR mahu tanding lebih banyak kerusi

DR. JEFFREY KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyasarkan untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Hasrat tersebut dinyatakan oleh Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan sempena ulang tahun kelima STAR hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini beliau menyatakan akan bertanding lapan atau sembilan kerusi, tapi sekarang STAR berhasrat ingin bertanding lebih banyak kerusi.

“Melihat senario politik yang berbeza sekarang, apa-apa pun boleh berlaku,” katanya semasa merasmikan ulang tahun kelima STAR secara maya hari ini.

Bagaimanapun katanya, STAR akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah dengan meminta kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sabah yang telah dirampas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri ini berkata, walaupun STAR kini sebahagian daripada kerajaan namun, parti itu tidak akan melupakan asas perjuangan mereka bagi menuntut hak-hak Sabah daripada kerajaan Persekutuan.

Katanya, STAR juga akan menempatkan wakil mereka di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN ) bagi memastikan ideologi politik STAR berada di setiap sudut di Sabah. Pada masa ini, STAR mempunyai wakil di 64 kawasan DUN.

Tambah Jeffrey, STAR turut mengalu-alukan penglibatan generasi muda untuk memilih parti itu sebagai platform politik. Justeru, semua pemimpin STAR perlu menarik kemasukan anak muda dan memberi penerangan tentang hak mereka sebagai pengundi apabila mencapai usia 18 tahun.

“Kita harus mendekati anak muda yang berusia 15 tahun dan ke atas kerana golongan ini akan memimpin negara pada masa akan datang.

“Saya tidak akan berada di sini selama-lamanya tapi, saya bangga kerana terdapat ramai pemimpin muda dalam kalangan anggota STAR. Kita harap mereka akan meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, STAR amat gembira menjadi sebahagian daripada kerajaan dan hubungan baik antara semua anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membolehkan Sabah mempunyai masa depan yang lebih baik.

Jelas beliau, idea mengenai pembangunan Sabah sudah dibincangkan dengan Ketua Menteri dan beliau berharap idea yang dikemukakan itu akan diterima.

“Sabah perlu memanfaatkan sumber yang ada agar kita tidak perlu lagi bergantung kepada Persekutuan bagi membangunkan negeri ini.

“Malah, kita sudah ada sesuatu dalam perancangan dan perkara ini akan diumumkan pada Januari 2022. Kita tidak boleh tergesa-gesa berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa sekarang.

“Apabila perkara ini diumumkan kelak, saya yakin rakyat Sabah pasti akan gembira,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya