Sistem penjagaan kesihatan awam terlalu banyak kekurangan- CAP - Utusan Malaysia

Sistem penjagaan kesihatan awam terlalu banyak kekurangan- CAP

Masih banyak ruang untuk menambah baik kekurangan sistem penjagaan kesihatan awam. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem penjagaan kesihatan awam di negara ini disifatkan masih terlalu banyak kekurangan dan usaha penambah baikan perlu dilaksanakan segera.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia membayar harga yang besar kerana tidak melabur secukupnya dan bijak dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

“Sejak pandemik bermula kita mendengar satu perkataan yang sering diulangi dalam sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia. Perkataan itu ialah kekurangan. Apabila Covid-19 bermula, kita kekurangan ujian Covid-19.

MOHIDEEN ABDUL KADER

“Kekurangan ujian difahamkan lebih buruk di luar ibu negara. Ini kerana Malaysia tidak mewujudkan keupayaan ujian yang mencukupi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), mereka bertindak balas dengan pantas kepada keperluan ujian kerana mempunyai rangkaian makmal awam dan swasta untuk berkhidmat kepada sistem penjagaan kesihatan dan malah boleh didapati di wilayah atau kota luar bandar. 

Namun, Malaysia sejak peringkat awal sistem penjagaan kesihatan awam telah berhadapan dengan kekurangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan ventilator.

“Kisah itu yang terdedah ketika tempoh itu mendedahkan bagaimana kekurangan hospital awam kita. Amat menyedihkan bahawa orang ramai, badan kebajikan, kerabat diraja, korporat dan lain-lain terpaksa menjalankan kempen derma untuk membekalkan PPE kepada hospital kita.

“Sejak itu kita juga mendengar mengenai kekurangan katil, kakitangan perubatan dan jururawat di hospital. Kita juga mendengar bagaimana kakitangan hospital selama ini berdepan dengan isu tenaga kerja sebelum Covid-19,” katanya.

Beliau juga berpendapat, Malaysia kurang melabur dalam membina hospital, terutamanya di wilayah dan kawasan luar bandar.

“Bersama dengan itu, kita juga kekurangan infrastruktur teknologi maklumat (IT). Amat menyedihkan hanya di pertengahan pandemik ahli politik merasakan perlu untuk melabur dalam integrasi data dan sistem janji temu.

“Ahli politik kita tidak hanya melabur dengan secukupnya untuk sistem penjagaan kesihatan awam kita, tetapi mereka juga tidak membelanjakan dalam bidang yang paling diperlukan. Contohnya, ahli politik kita membelanjakan wang yang besar ke atas strategi bioperubatan dalam dua dekad yang lepas,” katanya.

Malah, beliau berpandangan masih terdapat kekurangan keupayaan tempatan dalam bentuk pengeluaran vaksin.

“Malaysia juga tidak mempunyai keupayaan pengeluaran farmaseutikal yang boleh diperuntukkan semula ke arah pengeluaran vaksin. Ini mendedahkan bagaimana ahli politik terlepas pandang bidang penting apabila mereka membelanjakan ke atas strategi bioperubatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohideen menyifatkan kerajaan tidak berupaya untuk mengawal Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

“Malaysia mempunyai lebih daripada sejuta pekerja asing berpendapatan rendah, pendatang yang tidak mempunyai dokumen dan pelarian, tetapi ahli politik tidak mengerti tentang bagaimana untuk mengawal Covid-19 dan memberikan vaksinasi bagi populasi bahagian ini sehingga mereka terpaksa mengambil langkah tegas seperti menahan secara besar-besaran pendatang tidak berdokumen, yang sebenarnya mungkin memburukkan lagi keadaan.

Katanya, apa yang diperlukan Malaysia ialah sistem penjagaan kesihatan awam yang lebih kuat dengan penyertaan sektor swasta untuk menyediakan penjagaan kesihatan awam yang lebih berkesan dari segi kos, berkesan dan cekap.

“Ahli politik Malaysia daripada semua pihak mestilah dengan jujur mengakui kekurangan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang amat diperlukan oleh negara.

“Pakar penjagaan kesihatan telah lama menasihati mereka untuk menggandakan perbelanjaan penjagaan kesihatan daripada sekitar 4 peratus kepada 8 peratus atau lebih untuk mencapai paras perbelanjaan penjagaan kesihatan OECD. 

“Mereka juga menggesa ahli politik supaya melengkapkan sistem penjagaan kesihatan awam untuk menanggung beban keperluan yang lebih besar dengan meningkatkan perbelanjaan penjagaan awam daripada kurang 50 peratus kepada sekitar 70 peratus.

“Dalam usaha untuk membiayai perubahan ini, pakar kesihatan menasihati ahli politik Malaysia untuk tidak hanya menggunakan cukai tetapi juga menggunakan penyelesaian seperti levi, zakat, wakaf dan sebagainya,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu segera membuat perubahan ke atas sistem penjagaan kesihatan awam ketika ini.

“Biarkan setiap negeri menguruskan tindak balas kesihatan yang boleh dilakukan dengan cepat. Begitu juga, biarlah pakar inovasi dan agensi menjadi pendorong perubahan. Marilah kita bekerja ke arah ekuiti dan kecekapan dalam sistem penjagaan kesihatan awam kita. 

“Kerajaan boleh mula memperuntukkan semula dan menggunakan semula belanjawan, tenaga kerja perkhidmatan awam dan sumber terhadap sistem penjagaan kesihatan awam untuk membawa negara keluar daripada pandemik ini. Kita perlu membuat perubahan yang dipandu oleh bukti.

“Ini memerlukan peranan yang lebih besar bagi sektor pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, komuniti saintifik dan pakar global, dan Kementerian Kesihatan dan ahli politik perlu untuk sanggup berkongsi peranan,” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan juga perlu melepaskan sebahagian tenaga kerja yang bagus kepada kakitangan pakar saintifik dan agensi inovasi yang juga perlu menarik kepakaran daripada NGO dan sektor saintifik.

“Apa yang jelas ialah bukannya kepintaran ahli politik dan birokrat bahawa sistem penjagaan kesihatan awam perlu bergantung kepadanya, tetapi inovasi daripada semua pihak.

“Masa sukar memerlukan keputusan yang sukar dan lonjakan besar yang kita perlukan ialah mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia yang lebih inovatif,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya