JASIN: Selepas kali terakhir ditemui sekitar dua tahun lalu di pesisir laut berhampiran Kampung Padang Temu, kini siput kemudi muncul semula di Pantai Siring di sini sekali gus menjadi ‘talian hayat’ buat penduduk ketika pandemik.
Seorang peniaga pasar malam, Mohd. Irfan Budin, 33, berkata, siput kemudi atau dipanggil beliung oleh penduduk tempatan secara tidak sengaja dikesan oleh seorang nelayan ketika melangai udang pada bulan lalu.
Sejak itu, dia dan beberapa rakan termasuk nelayan turun ke laut setiap kali air surut untuk mencarinya bagi dijadikan sumber pendapatan selepas terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan dilanjutkan pula pada PKP 3.0.
“Setiap kali air laut surut, kami akan memburu secara berkumpulan dan berjaya mengumpul kira-kira 100 ekor setiap seorang dalam tempoh empat hingga lima jam.
“Kesemua hasil laut itu dikumpulkan untuk dijual kepada peraih pada harga 80 sen sehingga RM1 setiap ekor.
“Dengan hasil jualan itu, dapatlah duit untuk kami belanja dan tampung keluarga pada waktu ‘sesak’ ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Siring di sini.
Bagaimanapun, kata Mohd. Irfan, aktiviti memburu siput itu ada risiko apabila empat daripada mereka pernah dimasukkan ke hospital akibat disengat obor-obor dan ular laut, dua minggu lalu.
Jelasnya, cara mencari siput kemudi adalah dengan kaedah meraba cengkerang menggunakan kaki untuk mengetahui kedudukan hasil laut berkenaan, sebelum mengambilnya menggunakan tangan.
“Siput kemudi ini badannya berada di dalam dasar dan hanya bahagian atas cengkerangnya akan berada di permukaan.
“Jadi, kita perlu meraba menggunakan kaki untuk menentukan kedudukan sebelum mengambilnya dan dikumpulkan di dalam bakul yang dibawa masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peraih, Muhammad Akashah Abu Samah, 41, berkata, siput tersebut diminati ramai kerana isinya memuaskan, lebih besar berbanding kupang, lala dan kerang.
“Selepas dua tahun, baru siput ini muncul semula dan saya kira ia adalah sumber rezeki yang tidak disangkakan. Namun, kita tidak tahulah banyak mana siput kemudi ini ada di sini kerana ia membiak sendiri dan tidak dikomersialkan.
“Siput kemudi mempunyai permintaan tinggi dari seluruh negeri dan sejak bulan lalu saya telah pasarkan kira-kira 1,200 ekor hasil dari Pantai Siring,” katanya.- UTUSAN ONLINE