PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah lebih berkesan dalam pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi negeri yang masih terjejas akibat penularan Covid-19.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, kegagalan kerajaan mengambil tindakan penambahbaikan akan menyebabkan akses pendidikan antara murid di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak setara berbanding murid-murid di negeri fasa dua .
Katanya, langkah tersebut perlu dibuat selepas kerajaan melaksanakan proses desentralisasi persekolahan membabitkan lima negeri yang akan dibuka sebaik memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sebagai contoh kata beliau, kerajaan boleh mengenal pasti kumpulan murid yang berhadapan dengan isu ketiadaan peranti dan internet. Begitulah juga dengan bantuan menguruskan tekanan mental dan emosi murid-murid.
Kata beliau, jika dijumlahkan lima negeri di bawah fasa kedua PPN, ia merupakan penyumbang bilangan sekolah luar bandar dan pedalaman yang besar selain di Sabah dan Sarawak.
“Ini bermaksud lebih ramai murid bagi kelas peperiksaan di sekolah kawasan luar bandar dan pedalaman di lima negeri akan berpeluang belajar dengan lebih baik secara bersemuka di dalam bilik darjah bersama guru mereka.
“Konsep desentralisasi pendidikan mengikut negeri Ini satu keputusan yang tepat dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE