Semua PPV beroperasi mengikut SOP ketat CITF - Utusan Malaysia

Semua PPV beroperasi mengikut SOP ketat CITF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menegaskan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuklah di Setia City Convention Centre (SCCC) beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sejak awal lagi.

Berdasarkan kenyataan CITF yang dikeluarkan hari ini, penegasan ini merujuk kepada laporan media mengenai dakwaan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas PPV SCCC yang menerima kehadiran ribuan penerima vaksin berjadual setiap hari.

Katanya, sejak PPV ini dibuka pada 7 Jun sehingga 17 Julai lalu, seramai 230,000 orang telah divaksin dan proses ini berjalan dengan lancar.

“Pihak PPV SCCC telah mengambil tindakan segera sejurus dimaklumkan tentang kes positif yang dikesan pada 11 Julai lalu melibatkan tujuh petugas dengan melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) malah senarai kontak rapat juga telah dikenal pasti, diminta untuk turut melaksanakan ujian saringan dan kesemua mereka diarahkan untuk melakukan pengasingan kendiri sementara menunggu keputusan.

“Susulan itu, keputusan ujian saringan mendapati kesemua 11 kontak rapat adalah negatif. Namun, maklumat kes positif adalah sulit dan peribadi, hanya pegawai perubatan yang bertauliah dibenarkan memiliki maklumat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut, pihak PPV SCCC tidak melarang mana-mana petugas lain untuk menjalani ujian saringan manakala kawasan yang dikenal pasti terlibat di PPV tersebut juga telah disanitasi segera pengurusan SCCC.

“Bagi menjawab dakwaan bahawa terdapat pesakit Covid-19 yang pernah hadir sebelum ini, PPV SCCC juga mengesahkan bahawa penerima vaksin dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang telah melepasi tempoh kuarantin adalah dibenarkan menerima vaksinasi dengan bukti surat pelepasan (HRO) yang dikeluarkan Pusat Kesihatan Daerah sekiranya mereka dalam keadaan sihat dan tidak bergejala yang termaktub dalam Garis Panduan Berkaitan Vaksinasi Covid-19, Edisi Ke-2.

“Malah pihak KKM juga telah menetapkan Panduan Pengudaraan Dan Kualiti Udara Dalaman Bagi Tetap dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Dalam Tempoh Pandemik Covid-19 baru-baru ini maka semua PPV di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengikut panduan ini sebagai langkah mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara,” katanya.

Mengulas mengenai SOP CITF melibatkan PPV, kenyataan itu juga menyebut, antaranya adalah pengurusan PPV SCCC perlu memastikan arahan dan peraturan dalam Program Kawalan Risiko COVID-19 dipatuhi seperti penjarakan fizikal serta memantau petugas dan sukarelawan terlibat secara berterusan jika terdapat gejala.

“Para petugas PPV SCCC juga menjalani pengukuran suhu badan sebelum mula bekerja pada setiap hari, diwajibkan memakai pelitup serta digalakkan memakai pelindung muka semasa bertugas.

“Pihak CITF akan terus memastikan semua PPV mematuhi garis panduan yang telah disediakan serta menjalankan amalan SOP yang sepatutnya bagi memastikan tiada risiko penularan jangkitan berlaku di mana-mana PPV, pada ketika jangkitan kini menular dalam kalangan komuniti (sporadik),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN