JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu menambah baik sistem kebajikan negara bagi memastikan inisiatif membantu golongan yang terjerumus ke zon kemiskinan dapat dibuat dengan diberi bantuan secara holistik dan tidak bertindih.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Mazri Yahya berkata, kaedah pemberian bantuan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan sejak negara mencapai kemerdekaan sudah tidak lagi relevan.
Katanya, pemberian bantuan secara ad hoc juga tidak menyelesaikan masalah kerana ia hanya tertumpu kepada keluarga yang sama kerana kaedah itu turut ditiru pihak pusat zakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang datang bertali arus untuk membantu.
“Kenapa tidak diperbaiki sistem bantuan kebajikan dengan data populasi yang dikemas kini dan dihubungkan dengan data-data yang lain secara terus.
“Mereka yang jatuh di bawah paras kemiskinan perlu didaftarkan secara automatik dengan kementerian (yang urus) kebajikan. Melalui cara itu, mereka dapat dibantu secara automatik bergantung kepada jumlah ahli keluarga berdasarkan data lengkap daripada semua sumber.
“Pada masa sama, duit zakat, derma orang ramai melalui NGO diuruskan oleh satu entiti yang dipercayai. Dengan menggunakan data yang sama, derma yang disalurkan tidak hanya kepada orang yang sama dan melebihi keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazri berkata, langkah tersebut sangat ideal kerana telah dipraktikkan di negara Barat yang sepatutnya diambil dan bukannya budaya komunikasi sifar dengan mengangkat bendera putih.
Jelasnya, kempen kibaran bendera putih mempunyai tujuan yang baik tetapi secara tidak langsung ia telah menggambarkan betapa buruknya komunikasi sesama masyarakat.
Tambahnya, sekiranya ia boleh menjadi kenyataan, tidak perlu lagi wakil-wakil rakyat digunakan untuk menjadi alat memohon derma tetapi sebagai ejen bagi memikirkan perubahan dasar yang baik untuk negara.
“Pandemik Covid-19 telah mengajar kita banyak perkara dan mendedahkan banyak kelemahan kita semua antaranya terhakisnya nilai kemasyarakatan dalam diri kita semua.
“Ia menunjukkan kita betapa perkongsian masalah diri dan keluarga bukan lagi hanya dengan keluarga atau masyarakat setempat tetapi sudah menjadi milik bersama khalayak netizen seolah sistem kemasyarakatan yang dulu kita banggakan sudah tidak wujud lagi,” katanya. -UTUSAN