Sanusi patut jadi 'contoh' kepada masyarakat - Utusan Malaysia

Sanusi patut jadi ‘contoh’ kepada masyarakat

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor yang sering menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tidak ubah seperti ketam mengajar anak berjalan apabila beliau sendiri dikompaun atas kesalahan tersebut.

Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff berkata, sebagai pemimpin, Muhammad Sanusi seharusnya terlebih dahulu memastikan diri sendiri menjadi contoh kepada masyarakat.

Katanya, ini bukanlah masa untuk mana-mana pihak menjadi pelawak ketika usaha melawan Covid-19 memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan.

“Menasihati rakyat mematuhi SOP dan segala peraturan untuk kebaikan bersama sememangnya wajar, tetapi, sebagai pemimpin, perlu terlebih dahulu pastikan diri menjadi contoh kepada masyarakat.

“Mungkin benar telahan Muhammad Sanusi bahawa peningkatan mendadak hingga 800 kes baharu semalam berpunca daripada kelalaian pematuhan SOP, namun, adalah sesuatu yang kelakar apabila beliau sendiri baru saja menjelaskan kompaun RM1,500 kerana melanggar SOP di Auto City, Juru,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Sanusi ketika bercakap kepada sebuah portal mendakwa, peningkatan kes baharu di Kedah yang mencecah hingga 800 semalam berpunca daripada kontak rapat sekali gus membawa maksud bahawa SOP tidak dipatuhi.

Muhammad Sanusi berkata, kadar positif Covid-19 d Kedah tidak melebihi 10 peratus dan beliau percaya jumlah kes serius di negeri ini mampu berkurang sebaik imuniti kelompok dicapai menerusi vaksinasi.

Dalam pada itu, Zulhazmi berkata, saranan Muhammad Sanusi agar program imunisasi dipertingkatkan perlu diambil perhatian oleh kerajaan.

“Isu bekalan dan suntikan vaksin kepada rakyat Kedah sudah kerap diajukan sebelum ini, tetapi dipandang sebelah mata oleh kerajaan.

“Sekarang apabila angka positif meningkat, barulah meraba dan kelam kabut. Jangan sampai sudah terhantuk baru hendak tengadah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya