KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah kekal dengan keputusan membenarkan dine-in atau makan di restoran dan kedai-kedai makan termasuk restoran dalam hotel semasa pelaksanaan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, arahan untuk membenarkan aktiviti makan di restoran yang dikuatkuasakan pada 29 Jun lalu ketika pelaksanaan Fasa 1 PPN masih berkuat kuasa hingga sekarang.
“Ini pendirian kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan ini sekaligus menjawab kekeliruan yang timbul mengenai aktiviti makan di restoran seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah semasa pelaksanaan Fasa 2 PPN.
Sejak semalam tular dalam media sosial mengenai kekeliruan yang timbul berikutan SOP baharu yang menyatakan restoran dibenarkan untuk beroperasi untuk bawa pulang atau penghantaran ke rumah sahaja.
Semua restoran dan premis makanan di Sabah dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 9 malam sepanjang Fasa 2 PPN. -UTUSAN ONLINE