Rumah pusaka usang dibaiki segera - Utusan Malaysia

Rumah pusaka usang dibaiki segera

Dzulkefly Ahmad (tengah) melawat tapak rumah program Bantuan Rumah Negeri Johor 2021 yang dimohon Masri di Kampung Pinggiran, Gelang Patah, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Keadaan rumah enam sekeluarga di Kampung Pinggiran, Gelang Patah di sini yang hampir roboh selepas dilanda ribut bakal dibaiki segera dengan peruntukan berjumlah RM15,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu akan dikeluarkan oleh beberapa agensi kerajaan bagi membantu keluarga berkenaan.

Menurut beliau, rumah didiami warga emas, Masri Jambari, 60, bersama isteri, dua anak, seorang menantu dan seorang cucunya itu tidak lagi selamat untuk didiami.

“Kami sudah minta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membaik pulih rumah ini dengan kos berjumlah RM15,000.

“Rumah pusaka yang diduduki mereka ketika ini sudah terlalu daif dan perlu dibaiki segera kerana terdapat pelbagai kerosakan, khususnya bumbung yang bocor pada banyak tempat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan rumah itu, di sini hari ini.

Khamis lalu, akhbar ini melaporkan keluarga berkenaan terpaksa berkumpul di ruang tamu kediaman tersebut setiap kali hujan kerana kebocoran atap berlaku di semua bilik dalam rumah tersebut.

Rumah itu juga dilaporkan mengalami kerosakan agak teruk apabila dilanda hujan ribut beberapa hari sebelumnya sehingga menyebabkan struktur rumah perlu ditahan menggunakan kayu agar tidak terus roboh.

Dzulkefly turut memberitahu, permohonan Masri untuk mendapatkan rumah menerusi program Bantuan Rumah Negeri Johor 2021 sudah diluluskan dan ditanggung Baitulmal sepatutnya dibina April lalu.

“Kami sudah memaklumkan kelewatan pembinaan rumah itu kepada Pejabat Daerah Iskandar Puteri supaya kontraktor yang bertanggungjawab dapat memulakan projek itu segera dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Rumah baharu itu akan dibina atas tanah milik Masri sendiri yang berkeluasan 0.8 hektar dengan kos keseluruhan sebanyak RM65,000. Ia akan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

“Sementara itu, kami berharap kerja membaiki rumah pusaka keluarga ini dapat dipercepatkan keran dibimbangi perkara tidak diingini berkemungkinan berlaku selain bagi memberi keselesaan kepada keluarga ini,” ujarnya lanjut.

Terdahulu, Dzulkefly menyampaikan menyampaikan bakul makanan untuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Bahagia, Kampung Bukit Tempurung di sini.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya