Ramai serbu kedai buku - Utusan Malaysia

Ramai serbu kedai buku

HABIBULLAH E.M PAKIR MOHAMEED memeriksa mesin fotostat sejurus selepas membuka kedai bukunya di Jalan Hospital, Kangar, Perlis, semalam. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pembukaan semula kedai buku dan alat tulis di negeri ini mendorong orang ramai berkunjung ke premis perniagaan berkenaan bagi mendapatkan bahan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Malah seorang guru, Tengku Noor Hazatina Tengku Zainal Abidin, 41, walaupun terpaksa berkerusi roda juga tidak melepaskan peluang untuk membeli kelengkapan yang diperlukan termasuk buku-buku selepas selesai mengendalikan kelas PdPR, pagi semalam.

Guru sejarah dan pendidikan seni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara itu berkata, sebelum ini dia pernah mendapatkan barangan secara dalam talian tetapi kua­litinya kurang memuaskan.

“Tentunya semua guru ma­kin bersemangat lagi untuk PdPR kerana semua kedai buku sudah dibuka, jadi kita mempunyai pelbagai pilihan barangan untuk memastikan sesi itu berjalan lancar.

“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana mengambil kira keluhan guru dalam menyediakan bahan terbaik sebagai modul latihan kepada pelajar,” katanya yang menghadapi masalah gout ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai buku dan alat tulis di Jalan Air Jernih di sini, Teoh Chiew Hock lega dapat membuka semula perniagaannya selepas lebih sebulan hilang punca pendapatan.

Katanya, hampir RM10,000 wang simpanan digunakan sebelum ini bagi membayar sewa kedai di samping gaji pekerja, sekali gus berharap dapat memulihkan kembali perniagaan­nya dengan kebenaran beroperasi mulai semalam.

Di KANGAR seawal pukul 9 pagi, salah sebuah kedai buku, alat tulis, cetakan dan fotostat di sini tidak ‘menang tangan’ melayan pelanggan yang kebanyakannya ingin mendapatkan perkhidmatan cetakan dan fotostat.

Pemilik kedai Habib Trading, Habibullah E.M Pakir Mohameed, 58, berkata, kebanyakan pelanggan yang datang terdiri daripada guru dan juga ibu bapa pelajar yang mahu mendapatkan bahan untuk PdPR selain alat tulis, buku dan pelbagai lagi kelengkapan lain.

“Ramai yang menzahirkan rasa lega kerana dapat melakukan urusan fotostat kerana bukan semua orang ada mesin cetak di rumah dan banyak urusan mereka tergendala sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya