Ramai pemandu teksi Melaka pulang tangan kosong - Utusan Malaysia

Ramai pemandu teksi Melaka pulang tangan kosong

HASNOOR Sidang Husin menyampaikan bantuan sebanyak RM350 kepada salah seorang daripada 416 pemandu teksi dan kereta sewa di Terminal Bas Melaka Sentral, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penutupan pelbagai sektor termasuk pelancongan di negeri ini menyebabkan kira-kira 416 pemandu teksi dan kereta sewa di Terminal Bas Melaka Sentral di sini terkesan apabila hilang punca pendapatan.

Mereka tidak pernah mengalami nasib seburuk ini hinggakan dalam tempoh seminggu, ada yang pulang dengan tangan kosong.

Seorang pemandu teksi, Majid Mahat, 60, berkata, situasi sedemikian amat menekan kerana sebelum ini dia boleh memperoleh pendapatan kira-kira RM100 sehari.

“Selepas subuh saya keluar rumah tunggu pelanggan di Melaka Sentral hingga ke petang tetapi
langsung tak ada pelanggan. Cukup masa saya balik dengan tangan kosong. Itulah nasib saya alami.

“Bila bas ekspres kurang beroperasi, memang pelanggan tidak ada. Larangan rentas negeri lagi
perit nak cari rezeki dalam keadaan sekarang tambah pula pelancong tak ada,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Majid antara salah seorang daripada 416 pemandu teksi dan kereta sewa yang menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM350 sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn. Bhd., Datuk Hasnoor Sidang Husin.

Sementara itu, Razali Daud, 69, yang juga bekas pesara kerajaan pula berkata, sekatan pergerakan penuh turut memberi kesan kepada perkhidmatan teksi.

“Memang payah cari rezeki dengan memandu teksi, nak cari RM50 sehari pun payah. Seminggu menunggu di Melaka Sentral, adalah seorang dua naik teksi selebihnya balik tangan kosong.

“Permit saya boleh bawa teksi luar dari Melaka, tapi sejak awal sekatan pergerakan penuh, langsung tak ada orang mahu ke Kuala Lumpur atau Johor. Cuba bayangkan macam mana peritnya nak cari sesuap nasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN