PETALING JAYA: Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan sejak 2019 hingga Mei lalu atau sekurang-kurangnya dua kes secara purata setiap hari.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, jumlah itu melibatkan 609 kes untuk tahun 2019, 631 (2020) dan 498 untuk Januari hingga Mei lalu yang melibatkan 1,427 wanita dan 281 lelaki.
Katanya, kebanyakan mangsa adalah berusia 15 hingga 18 tahun iaitu 872 orang manakala lingkungan umur antara 19 hingga 40 tahun tahun pula seramai 668 orang.
“Pada tahun ini, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 117 kes manakala untuk tahun lalu dan 2019, Johor merupakan negeri tertinggi kes bunuh diri berlaku (110 kes),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abd. Jalil, berdasarkan statistik, cara membunuh diri kerap berlaku adalah gantung diri (75.1 peratus), terjun bangunan (13.6 peratus) dan makan racun (5.7 peratus).
Ujarnya, siasatan mendapati tiga punca menyebabkan kejadian tersebut antaranya masalah keluarga, kewangan dan tekanan perasaan.
“Berdasarkan trend yang berlaku, semua pihak bertanggungjawab terutama masyarakat memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.
“Individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya harus diberi bantuan dan sokongan,” ujar beliau.
Abd. Jalil turut menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan dan pihak menyediakan nasihat.- UTUSAN ONLINE