SEREMBAN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Belia dan Sukan, Paroi dekat sini yang mula beroperasi hari ini dijangka dapat memberikan sehingga 1,500 dos suntikan vaksin sehari kepada penduduk di kawasan sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Kompleks Belia dan Sukan di Paroi telah diserahkan kepada kerajaan negeri baru-baru ini selepas ia kerja-kerja menaik taraf selesai baru-baru ini.
“Kompleks Belia dan Sukan, Paroi baru sahaja selesai kerja-kerja baik pulih dan diserahkan kepada kerajaan negeri baru-baru ini, sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menjadikannya sebagai PPV bagi memastikan lebih ramai anggota masyarakat dapat divaksin.
“Pada permulaannya, PPV ini akan memberi sebanyak 900 dos sehari sebelum ditingkatkan ke 1,500 dos. Insya-Allah, semoga penambahan PPV ini dapat merealisasikan sasaran 20,000 dos vaksin sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, kerja-kerja menaik taraf kompleks tersebut yang menelan belanja hampir RM3 juta telahpun siap selepas ia dimulakan sejak penghujung tahun 2019.
“Kerja-kerja menaik taraf termasuklah kemudahan trek, gelanggang futsal malah dewan juga yang kini dijadikan sebagai PPV.
“Namun begitu, walaupun sudah dinaik taraf, kemudahan ini masih belum boleh digunakan lagi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selepas selesai PKP dan aktiviti sukan boleh dijalankan, saya yakin ia akan kembali menjadi tempat tumpuan penduduk,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE