Pondok di kebun getah jadi ‘sekolah’ dua pelajar SPM - Utusan Malaysia

Pondok di kebun getah jadi ‘sekolah’ dua pelajar SPM

RICHEAL Claudia (kanan) bersama Cypriantine Severinus (kiri) mengikuti sesi PdPR di pondok yang terletak dalam kebun getah di Kampung Ulu Entabuan, Tenom, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pondok kayu dalam kebun getah ibarat ‘sekolah’ bagi dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan, Tenom yang terletak kira-kira 160 kilometer (km) dari pusat bandar Raya ini.

Berbekalkan lingkaran racun nyamuk dan tikar getah yang dibentangkan di atas tanah merah, di situlah dua pelajar ini menghabiskan masa selama tujuh jam sehari setiap kali ada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Richeal Claudia Rabinus,17, berkata, capaian internet yang lemah di kampung itu mendorong dia dan bapa saudaranya, Cypriantine Severinus untuk meredah kebun getah di kawasan berbukit sejauh dua kilometer bagi memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran.

Biasanya Richeal dan Cypriantine,17, yang merupakan rakan sekelas dan adik kepada ibunya ini akan masuk ke kebun getah tersebut dengan menggunakan motosikal. Namun, apabila cuaca hujan, mereka terpaksa berjalan kaki kerana laluan agak licin dan merbahaya.

Katanya, biarpun pernah rasa ingin putus asa mengikuti PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 12 Mei lalu namun, dia menguatkan semangat untuk terus belajar kerana tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apabila hampir berputus asa, saya akan ingat semula keadaan keluarga yang susah jadi, saya akan melipatgandakan usaha untuk belajar bersungguh-sungguh supaya boleh mengubah nasib keluarga.

“Setiap kali mengenang keadaan ibu bapa yang susah, pasti semangat saya akan berkobar-kobar untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dalam peperiksaan SPM kali ini, sasaran saya ingin memperoleh 8A,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Anak sulung daripada lima beradik yang bercita-cita menjadi doktor gigi ini baru sahaja selesai peperiksaan pertengahan penggal semalam.

Tambah Richeal, pesanan guru sentiasa berlegar dalam fikirannya bahawa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ membuatkan dia merasa bertanggungjawab untuk menyiapkan kerja sekolah.

“Saya tidak mahu guru-guru mereka kecewa jika tugasan sekolah tidak dapat disiapkan dan dihantar. Jadi, biarpun perlu meredah kebun getah tapi, saya tetap juga berusaha naik ke sana mendapatkan capaian internet pada setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Ceritanya lagi, ketiadaan peranti untuk membuat tugasan juga antara kekangan utama mereka. Apabila ada tugasan yang memerlukan penggunaan komputer riba, dia akan meminjam komputer riba daripada kawan yang sekampung dengannya di Kampung Ulu Entabuan, Tenom.

Sementara itu, Cypriantine berkata, biarpun tidak selesa belajar di sulap (pondok) itu kerana ia berada di tengah-tengah kebun getah dan bernyamuk, tapi dia tetap berusaha untuk naik ke bukit itu setiap kali ada PdPR.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini juga ingin mengikut jejak langkah kakak dan abangnya yang muncul sebagai pelajar cemerlang SPM di SMK Entabuan, Tenom.

Pelajar Sains tulen yang bercita-cita menjadi guru matematik ini berkata, dia juga pernah rasa hampir berputus asa tapi kejayaan kakak dan abangnya membakar semangat untuk dia mencapai keputusan yang cemerlang.

“Semasa pelaksanaan PKP tahun lepas, saya masih rasa bersemangat untuk belajar tapi, apabila tahun ini masih tidak dapat bersekolah seperti biasa terus saya rasa hampir berputus asa. Saya merasa sedikit tertekan kerana belajar secara visual tidak sama dengan bersemuka.

“Kalau ada perkara kami tidak faham terus boleh tanya dengan guru jika belajar bersemuka tapi, semasa pelaksanaan PdPR ini situasinya sangat berbeza. Itulah sebabnya saya banyak minta tunjuk ajar dan berbincang bersama Richeal yang lebih rajin mendapatkan penjelasan daripada guru-guru,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya