PUTRAJAYA: Adakah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di hampir seluruh daerah Selangor dan beberapa lokaliti Kuala Lumpur akan disambung atau sebaliknya?
Tempoh pelaksanaan perintah itu akan berakhir esok, selepas mula dilaksanakan pada 3 Julai lalu.
Seperti kebiasaan, pengumuman berhubung perintah itu akan diumumkan dua hari atau sehari sebelum selepas mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengikut rekod, Selangor dan Kuala Lumpur masih mencatatkan angka tertinggi jumlah kes positif baharu Covid-19 dengan semalam, jumlah keseluruhan memecah rekod 11,079 kes dan negeri Selangor kekal sebagai negeri kes jangkitan tertinggi sebanyak 5,263 diikuti Kuala Lumpur (1,521 kes) dan Negeri Sembilan (1,033 kes).
Sebelum ini, kerajaan Selangor membayangkan pelaksanaan PKPD di negeri itu bukan dua minggu, tetapi boleh berlarutan sampai sebulan.
Jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD.
Antara daerah di Selangor yang terlibat PKPD ialah Daerah Petaling melibatkan mukim Petaling, Damansara, Sg Buloh, Bukit Raja; Daerah Hulu Langat (Mukim: Hulu Langat , Ampang, Cheras , Kajang, Semenyih, Beranang); Daerah Sepang (Mukim Dengkil, Labu, Sepang); Daerah Gombak (Mukim Batu, Rawang, Setapak, Hulu kelang, Kuang)
Daerah Kuala Langat (Mukim: Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2),Teluk Panglima Garang, Morib Bandar, Jugra, Batu); Daerah Klang (Mukim: Kapar, Klang); Daerah Kuala Selangor ( Mukim: Ijok,Bestari Jaya, Jeram); Daerah Hulu Selangor ( Mukim: Serendah ,Rasa, Ulu Yam, Batang Kali)
Manakala bagi Kuala Lumpur melibatkan lokaliti seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2) , Flat Sri Sabah, Kampung Puah.
Selain itu ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas. -UTUSAN ONLINE