KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Datuk Peter Anthony pernah memarahi bekas Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Harun Abdullah kerana syarikatnya gagal memperoleh kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di universiti itu.
Harun, 60, berkata, kontrak berkenaan tidak diberikan kepada Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd (Asli Jati) milik bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu, sebaliknya diberi kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.
Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, keputusan pemberian tender berkenaan diluluskan oleh mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS.
Ketika membacakan pernyataan saksinya, Harun berkata, projek M&E itu akan dilaksanakan bagi tempoh dua tahun yang menelan belanja hampir RM22 juta manakala surat setuju terima kepada REMT Utama dikeluarkan pada 23 Julai 2014.
Bagaimanapun, beliau kemudian mendapat tahu bahawa satu surat lain bertarikh 9 Jun 2014 telah dikeluarkan oleh UMS tanpa kebenarannya yang mana tempoh penyelenggaraan telah dilanjutkan sehingga lima tahun.
Menurut saksi, surat itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang dan dihantar kepada
Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
Ujarnya, perkara itu hanya diketuai selepas menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2014 yang meluluskan permohonan UMS melaksanakan projek berkenaan secara rundingan terus dengan Asli Jati dan Ulink Property Sdn. Bhd. untuk tempoh tiga tahun, walhal UMS telah melantik REMT.
Harun berkata, tindakan Shariff mengeluarkan dan menandatangani surat itu adalah bertentangan dengan keputusan mesyuarat LPU yang menghendaki projek berkenaan dilaksanakan secara tender terbuka.
Ujar saksi, beliau bersama-sama Shariff kemudian pergi ke Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan untuk mengesahkan surat berkenaan selepas Shariff Mengakui tidak ingat menandatanganinya.
Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.
Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun
2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.
Sejurus selesai prosiding perbicaraan, peguam Datuk D. Sentinathan memohon sesi soal balas ditangguhkan dan dikendalikan oleh peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal
Abidin yang sedang bercuti sakit sehingga 2 Ogos ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahahruddin Wan Ladin membantah permohonan itu atas alasan tindakan tersebut merupakan percubaan pihak pembelaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan sejak tertuduh didakwa Julai tahun lalu.
Wan Shaharuddin berkata, pihak pendakwaan tidak pernah membesarkan isu penangguhan namun bantahan dikemukakan kali ini kerana melibatkan beberapa saksi warga emas yang perlu membuat perjalanan jauh dari Sabah untuk hadir memberi keterangan dalam prosiding ini.
Hakim Azura Alwi menolak permohonan penangguhan dan menetapkan sesi soal balas disambung esok. -UTUSAN ONLINE