Pertahan institusi diraja - Utusan Malaysia

Pertahan institusi diraja

MOHAMAD ALI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penzahiran rasa dukacita oleh Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin secara langsung telah menjejaskan imej dan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, adalah tidak wajar tindakan yang telah dilakukan Kabinet Perikatan Nasional (PN) kerana membelakangkan fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, walau apapun alasan yang diberikan kerajaan untuk menghalalkan ‘keterlanjuran’ mereka, Perdana Menteri telah bertindak menderhakai institusi diraja kerana mencemarkan peranan Baginda, malah turut mencabul undang-undang tertinggi negara.

“Muhyiddin harus bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan beliau wajar mengundurkan diri 

secara terhormat. Sepatutnya kerajaan perlu akur serta wajib mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong tetapi ini telah diingkari. Ordinan darurat tidak boleh diputuskan tanpa perkenan Seri Paduka.

“Harus diingatkan Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja adalah simbol kedaulatan yang menjadi kebanggaan dan maruah negara sejak penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

“Kita sebagai rakyat harus mempertahankan institusi diraja selaku payung negara selaras Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui.

Justeru, Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu meminta ahli parti di seluruh negara mengutamakan kesetiaan dan mesti mempertahankan Seri Paduka serta institusi dirajA kerana ia menjadi perjuangan UMNO sejak kemerdekaan.

Tegasnya lagi, ahli Parlimen UMNO juga perlu akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Kelmarin, Al-Sultan Abdullah melalui kenyataan Istana Negara menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen yang telah dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Isnin lalu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN