KANGAR: Perlis kembali kepada status zon merah Covid-19 dengan 16 kes baharu dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan keseluruhan kes aktif di negeri ini sebanyak 59 kes.
Kuala Perlis terus kekal merekodkan kes paling tinggi Covid-19 dengan sembilan kes baharu dilaporkan hari ini dan jumlah keseluruhan kes aktif di kawasan itu sebanyak 33 kes aktif.
Sena pula merekodkan enam kes aktif diikuti Arau sebanyak lima kes aktif; Titi Tinggi (empat); Utan Aji, Kayang, (tiga); Sanglang (dua) manakala Beseri, Kechor dan Wang Bintong masing-masing merekodkan satu kes.
Ekoran itu, Polis Kangar mengawal pergerakan keluar masuk ke Kuala Perlis sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan kes yang boleh membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.
Terdapat tiga laluan masuk ke Kuala Perlis iaitu melalui di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis yang ditempatkan sekatan jalan raya (SJR) manakala Jalan Datuk Ali di Kampung Tok Kuning di sini pula ditutup sepenuhnya dengan penghadang jalan dibuat lencongan ke lebuh raya tersebut.
Jabatan Kesihatan negeri turut menasihatkan penduduk negeri ini agar terus berwaspada
dan sama sekali tidak alpa khususnya apabila berada bersama individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan merah.
Manakala semua individu yang pulang dari luar Perlis diminta untuk kuarantin kendiri selama 14 hari selain terus mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap menasihatkan penduduk Kuala Perlis agar terus kekal mematuhi SOP.
Katanya, jika tidak ada urusan penting adalah sebaik-baiknya kekal di rumah bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Dalam masa sama, tegas Nor Azam, penduduk juga diminta bersifat jujur untuk melaporkan kepada pihak berwajib jika mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.
“Daripada segi kawalan, polis telah mempertingkatkan kawalan keluar masuk ke Kuala Perlis dengan pembukaan SJR dan sebagainya. Kalau boleh kita tidak mahu Kuala Perlis dikenakan perintah PKPD.
“Jadi semua pihak khususnya penduduk Kuala Perlis terus diminta mematuhi SOP,” katanya. -UTUSAN ONLINE