KOTA TINGGI: Seorang pengusaha kedai peralatan sukan di Bandar Penawar, di sini terpaksa mengambil keputusan menutup kedainya kerana tidak sanggup menanggung hutang susulan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Lokeman Mohamad, 33, berkata, dia yang mula berniaga sejak 2012 pada awalnya amat berat hati untuk menutup kedai tersebut, namun keadaan memaksanya kerana tidak mampu lagi membayar sewa bulanan dan pada masa sama tiada hasil yang diraih.
Katanya, kedai diusahakannya amat terjejas selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan sehinggakan tidak mampu untuk membayar gaji pekerjanya.
“Perniagaan memang sudah terjejas sejak PKP pertama tetapi tidak seteruk PKP 3.0 bahkan duit simpanan enam bulan juga habis bila PKP kali ini.
“Masa PKP 1.0 pernah saya tertunggak bayaran sewa kedai selama beberapa bulan, kemudian dapat ‘bernyawa’ sekejap selepas pembukaan semua sektor sebelum PKP 3.0 pula berkuatkuasa.
“Masa itu hasil diperolehi digunakan untuk bayar tunggakan. Bila PKP 3.0 bermula pada awal Jun kami langsung tiada pendapatan jadi setelah berbincang dengan isteri saya ambil keputusan tutup kedai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Bapa kepada dua anak itu berkata, keputusan untuk menutup kedai bukan satu perkara yang mudah namun perlu dilakukan bagi mengelakkan dia terus menanggung bebanan hutang tunggakan bagi bayaran sewaan bulanan.
Katanya, bagaimanapun kehidupan mencari rezeki perlu diteruskan kerana dia mempunyai tanggungan selain masih terdapat komitmen lain yang perlu dilangsaikan seperti hutang rumah dan kereta.
Justeru, musim durian pada masa ini adalah ‘bonus’ baginya untuk bangkit dan kini daripada seorang penjual peralatan sukan dia beralih kepada menjual raja buah itu.
“Buntu juga bila dah tutup kedai jadi pendapatan pun tiada. Tapi bila lihat musim durian sekarang saya terus ambil peluang, bagi saya ini adalah sumber rezeki yang perlu dimanfaatkan sementara tengah musimnya.
“Alhamdulillah sejak sebulan menjual durian saya dapat meraih keuntungan. Durian diambil dari Segamat dan dihantar kepada penjual-penjual lain. Tempat kami berniaga juga dibantu rakan-rakan yang hilang kerja jadi sekurang-kurangnya dapat membantu mereka dari segi pendapatan sepanjang PKP 3.0 ini,” katanya.
Orang ramai yang mahu membuat tempahan buah durian yang dijual Lokeman dengan ‘jenama’ Derian Manjo boleh menghubunginya di talian 017-744 5739.- UTUSAN ONLINE