Pengorbanan kecil petugas KPJ Johor demi vaksinasi - Utusan Malaysia

Pengorbanan kecil petugas KPJ Johor demi vaksinasi

PETUGAS KPJ Johor yang mengenakan baju Melayu dan baju kurung cekal berkhidmat bagi membantu proses vaksinasi berjalan lancar di PPV hospital itu di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketika umat Islam di negeri ini bergembira meraikan Hari Raya Aidiladha dengan keluarga tercinta, petugas kesihatan KPJ Johor mengorbankan masa bagi memastikan vaksinasi Covid-19 terus diterima rakyat.

Kira-kira 50 petugas kesihatan Hospital Pakar KPJ Johor mengorbankan masa mereka bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) hospital terbabit.

Bagi mengubati kerinduan tidak dapat meraikan Hari Raya Aidiladha, petugas kesihatan yang bertugas sepakat mengenakan pakaian baju Melayu dan baju kurung bagi menghidupkan suasana Aidiladha ketika bertugas.

Bagi petugas PPV KPJ Johor, Mohd. Azharull Azmeer Abdullah berkata, walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga, sambutan turut dirasai bersama rakan-rakan serta penerima vaksin yang lain.

“Walaupun sambutan tahun ini sedikit berbeza, namun, tetap meriah kerana rakan-rakan setugas turut memakai baju Melayu dan baju kurung.

“Bagi saya, ini antara sumbangan kecil saya kepada negara bagi menyokong hasrat kerajaan untuk mencapai komuniti kelompok dalam memerangi covid-19,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah turut menghargai pengorbanan petugas kesihatannya yang berkorban masa dan tenaga bagi menjayakan PICK.

Beliau berharap pengorbanan kecil petugas kesihatan ini dibayar dengan kejayaan memaksimumkan vaksinasi dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengorbanan mereka semua sehingga hari ini. Mendepani pandemik ini, kita kena sentiasa bersedia untuk berkorban kerana dalam setiap kesusahan, Allah SWT akan hadirkan kemanisan.

“Sekali lagi, kita menyambut Hari Raya Aidiladha dalam pandemik, bezanya tahun ini kita bersama-sama berkorban dan berusaha keluar dari pandemik ini. Semoga setiap pengorbanan kita di dunia ini mendapat redha daripada Allah SWT,” ujarnya.

PPV KPJ Johor yang mula beroperasi sejak 31 Mei lalu dibuka seawal pukul 8.30 pagi hingga 5 petang dengan kapasiti 400 dos sehari mampu diberikan kepada penerima. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya