JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal nekad berhenti kerja untuk memberi tumpuan bagi menjaga anak tunggalnya, Nur Dini Umairah Abdullah, 13, yang disahkan mengalami buta mata kiri pada Jun lalu.
Menurut Noridah Bachok, 32, anak perempuannya itu juga adalah orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu sejak lahir selain mengalami kecacatan mental.
Katanya, ketika usia Nur Dini menjangkau lima bulan, dia dikesan mengalami masalah injap jantung hingga terpaksa menjalani pembedahan bagi mengatasi komplikasi tersebut.
“Hidup Dini terus diduga apabila dia disahkan buta mata kiri pada bulan lalu manakala mata kanannya juga disahkan mengalami masalah retina mengecut.
“Saya tidak sangka warna mata kirinya yang putih sepenuhnya merupakan simptom kerosakan saraf mata. Ketika dibawa ke hospital, doktor sahkan mata berkenaan sudah tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui pemberita di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, di sini.
Noridah berkata, doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) telah merujuk Nur Dini ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan untuk mengelak mata kanannya buta pada awal bulan ini.
Katanya, dia bersyukur apabila kos pembedahan yang berjumlah RM16,000 ditanggung oleh doktor yang melakukan pembedahan itu setelah menyedari mereka tidak mampu membayarnya.
Tambahnya, doktor pakar itu memaklumkan luka di mata kanan Nur Dini dijangka pulih dalam tempoh empat hingga lima bulan, namun, tidak dapat memberi jaminan bahawa daya penglihatannya akan pulih sepenuhnya.
“Keadaan terkini Dini menyebabkan dia banyak bergantung kepada saya untuk bergerak termasuk ketika makan, minum susu, mahupun ke tandas selain bergantung kepada tiga jenis ubat titis mata yang perlu diberi setiap dua jam, lapan jam dan 12 jam sekali.
“Ibu juga sudah berusia lewat 60-an, tidak lagi mampu untuk menjaga Dini. Oleh itu, saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja bagi mengelakkan penjagaannya terabai,” ujarnya.
Bekas tukang masak itu berkata, dia kini membantu kakaknya berniaga makan tengah hari dengan hasil pendapatan harian sebanyak RM50 sehari.
“Saya memerlukan duit sebanyak RM1,000 sebulan bagi kos membeli susu dan lampin pakai buang buat Dini. Ini tidak termasuk bayaran sewa rumah, bil utiliti dan perbelanjaan dapur yang dianggarkan berjumlah RM650.
“Setakat ini, saya belum mendapatkan mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan kerana tidak berkesempatan membuat permohonan kerana perlu menjaga Dini,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noridah di talian 011-2325 4184 atau terus menyalurkan bantuan ke akaun RHB Bank miliknya yang bernombor 15106700126291. -UTUSAN ONLINE